Peguam Najib elok saman semua rakyat Malaysia, sindir Ramasamy


P RAMASAMY menyelar tindakan peguam Najib Razak yang ingin mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang mengkritik cara mereka mengendalikan rayuan terakhir bekas perdana menteri itu minggu lepas dengan turut memfailkan saman terhadap semua rakyat Malaysia..

“Adakah mereka mengharapkan rakyat Malaysia yang prihatin duduk diam dan bertolak ansur dengan badan kehakiman menjadi ejekan dan cemuhan?

“Meminta dimasukkan bukti baharu diikuti dengan kebenaran untuk menangguhkan kes dan percubaan untuk menarik balik representasi undang-undang Najib adalah satu penyalahgunaan sepenuhnya proses kehakiman oleh mana-mana standard penghakiman biasa.

“Bukan Badan Peguam Malaysia sahaja yang menyuarakan mengenai pelbagai cubaan untuk memburukkan badan kehakiman tetapi ratusan dan ribuan rakyat Malaysia dengan fikiran yang sama menggunakan media sosial, Facebook dan lain-lain untuk mengkritik drama mahkamah Najib dan peguamnya.

“Jika Najib mempunyai kedudukan yang begitu hebat di kalangan peguam, mungkin beliau perlu mengambil tindakan undang-undang terhadap semua mereka yang mengkritik beliau dan peguamnya,” kata timbalan ketua menteri Pulau Pinang itu dalam satu kenyataan.

Beliau merujuk kepada laporan peguam Najib yang sedang mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap Presiden Badan Peguam Malaysia, Karen Cheah kerana mengkritik penyalahgunaan proses kehakiman, tindakan tidak profesional dan paling penting cubaan menumbangkan dispensasi keadilan.

Ramasamy berkata menjadi kewajipan Badan Peguam Malaysia untuk mempertahankan badan kehakiman apabila terdapat percubaan jelas untuk menjejas dan mencemarkan peranannya.

Pada Isnin, dilaporkan peguam Zaid Ibrahim dan dua rakan kongsinya sedang mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap Cheah berhubung kenyataan akhbar baru-baru ini berhubung representasi mereka dalam rayuan SRC International Najib di Mahkamah Persekutuan.

Dalam surat yang dikeluarkan melalui firma guaman, Zaid Ibrahim Suflan TH Liew & Partners, ketiga-tiga mereka menuntut “penarikan balik dan permohonan maaf sepenuhnya” daripada Cheah menjelang 2 September, jika gagal mereka akan memulakan tindakan undang-undang terhadap presiden badan peguam.

Mereka mendakwa bahawa kenyataan akhbar Cheah pada 19 Ogos adalah “fitnah yang serius”.

Pada 19 Ogos, Cheah, melalui Badan Peguam Malaysia, telah meluahkan rasa mengenai cara sistem keadilan disalahgunakan dan dicemarkan dalam perbicaraan rayuan SRC International.

Cheah berkata negara menyaksikan bagaimana sistem keadilan disalahgunakan dan dicemarkan melalui tindakan terburu-buru dan pelbagai percubaan untuk menangguhkan pendengaran rayuan Najib.

Pada 25 Julai, Najib menggugurkan Tetuan Shafee & Co dan mengambil Tetuan Zaid Ibrahim Suflan TH Liew & Partners untuk mewakilinya dalam rayuan terakhirnya di mahkamah tertinggi.

Sebelum dan semasa rayuan, peguam Najib Hisyam Teh Poh Teik beberapa kali memohon untuk menangguhkan perbicaraan tetapi ditolak oleh mahkamah.

Najib kemudian menggugurkan firma guamannya yang baru dilantik sebagai peguam cara serta Zaid, Liew dan Rueben sebagai peguam bersama pada 18 Ogos.

Permintaan yang sama untuk melepaskan Hisyam Teh sebagai peguam utama ditolak oleh Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat.

Minggu lalu, Mahkamah Persekutuan sebulat suara mengekalkan keputusan bersalah Najib, memerintahkan beliau memulakan hukuman penjara 12 tahun serta-merta.

Najib juga perlu membayar denda RM210 juta, jika gagal membayarnya, beliau perlu menjalani hukuman penjara lima tahun lagi. – 31 Ogos, 2022.     


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen