Kempen Ayuh Malaysia sasar 30,000 sukarelawan, kata Rafizi


Elill Easwaran

Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli berkata kempen Ayuh Malaysia yang dilancarkan pada Mac mensasarkan jumlah sukarelawan kepada 30,000 orang menjelang akhir tahun. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 31 Ogos, 2022.

KEMPEN Ayuh Malaysia yang diterajui Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli sasar untuk meningkatkan pengambilan sekurang-kurangnya 20,000 sukarelawan lagi bagi membantu menambah penyokong Pakatan Harapan (PH) menuju Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ketika ini kempen itu melibatkan kira-kira 10,000 sukarelawan, katanya.

Selain Rafizi, kempen Ayuh Malaysia juga diterajui Nurul Izzah Anwar.

Rafizi berkata beliau berpuas hati dengan sokongan orang ramai sejak kempen itu dilancarkan pada Mac, malah jumlah kehadiran lebih ramai berbanding acara-acara kempen PH sebelum ini.

“Kami terima tempahan untuk majlis hari ini yang diumumkan melalui Facebook daripada kira-kira 800 orang walaupun kapasiti dewan adalah 500 orang.

“Begitu juga, kami terima 700 hingga 800 orang untuk menghadiri ceramah trak kempen kami, yang saya fikir PH bergelut untuk mencapainya sejak tiga hingga empat tahun lalu,” katanya kepada media pada ‘Bicara Merdeka: Reimagining Malaysia’s Future by Ayuh Malaysia’ di Pusat Seni Persembahan Kuala Lumpur di Sentul malam tadi.

Rafizi dalam pada itu berharap sokongan terhadap kempen Ayuh Malaysia dapat diterjemahkan pada PRU15.

“Secara idealnya, kita mahu mencapai peratusan keluar mengundi 80%. Kita mencatatkan peratusan keluar mengundi 56 hingga 57% dalam dua pilihan raya negeri yang lepas, tetapi jika kita motivasikan pengundi, ia mungkin menghampiri 80%,” katanya.

Acara malam tadi adalah sebahagian daripada siri sesi penglibatan bersama sukarelawan yang menumpu kepada dasar penyelesaian masalah.

“Sukarelawan bukan ahli parti. Kami ada kira-kira 10,000 sukarelawan sejak kempen dilancarkan pada Mac dan kami berharap dapat meningkatkan pengambilan kepada 30,000 menjelang akhir tahun.

“Sesi penglibatan awam, yang memfokuskan kepada lima isu teras, akan diteruskan walaupun selepas pilihan raya umum,” kata Rafizi.

“Sesi penglibatan awam, yang memfokuskan kepada lima isu teras, akan diteruskan walaupun selepas pilihan raya umum,” 

Lima isu teras tersebut katanya adalah pendidikan, pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional, tenaga boleh diperbaharui, perumahan dan jaminan makanan.

“Melalui sesi penglibatan awam ini juga kami berharap dapat menarik lebih ramai pengundi muda kerana merekalah yang paling kecewa dan membenci ahli politik,” tambah bekas ahli Parlimen Pandan itu. – 31 Ogos, 2022.     


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen