Negeri PAS bubar DUN selepas Mac 2023, kata Takiyuddin


Mohd Farhan Darwis

Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan berkata partinya lebih memberi tumpuan kepada pemulihan kehidupan dan ekonomi rakyat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Ogos, 2022.

PAS menegaskan tiga negeri di bawah pentadbirannya, iaitu Kedah, Kelantan, dan Terengganu, tidak akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) mereka, sebelum Mac tahun hadapan, kata setiausaha agungnya Takiyuddin Hassan.

Langkah itu katanya bagi membolehkan tumpuan diberikan kepada pemulihan kehidupan dan ekonomi rakyat.

“Kerajaan negeri yang diterajui oleh PAS tidak akan membubarkan DUN masing-masing lebih awal dari bulan Mac 2023, atas dasar buat masa ini penumpuan lebih perlu diberikan kepada aspek pemulihan dalam kehidupan rakyat terutama di bidang perekonomian selain kesihatan,” kata Takiyuddin. 

Menteri tenaga dan sumber asli itu berkata perkara tersebut diputuskan dalam mesyuarat jawatankuasa harian PAS, yang berlangsung semalam. 

Ahli Parlimen Kota Baru itu berkata PAS juga mengambil pendekatan bersikap terbuka dalam mencari formula terbaik bagi mewujudkan kerjasama politik dengan mana-mana pihak yang mengutamakan perpaduan serta keharmonian dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) demi kestabilan negara dan kesejahteraan rakyat pelbagai kaum dan agama di negara ini.

Beliau turut mengulangi pendirian PAS sebelum ini yang menolak sebarang bentuk kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi PRU15.

“PAS secara tegas tidak akan mengadakan sebarang kerjasama dengan PH mahupun mana-mana parti komponennya dalam menghadapi PRU15 termasuklah dalam cadangan konsep khemah besar,” kata Takiyuddin, dalam satu kenyataan, hari ini.

Parti itu bagaimanapun katanya mengutamakan konsep penyatuan ummah dan perpaduan nasional dalam setiap langkah dan pendirian politik khususnya membabitkan komuniti Melayu dan Islam.

“PAS amat optimis pendekatan penyatuan ummah tersebut boleh dicapai melalui kolaborasi parti-parti utama di negara ini yang berteraskan konsep perpaduan Melayu, Islam dan berteraskan Bumiputera kerana ia adalah formula paling berkesan serta diterima oleh majoriti rakyat Malaysian,” katanya lagi.

PAS merupakan komponen yang menubuhkan gabungan politik Perikatan Nasional (PN) bersama Bersatu dan parti dari Sabah, Parti Progresif Sabah (SAPP), dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), serta turut dianggotai Gerakan.

Pengerusi PN Muhyiddin Yassin semalam, dilapor menyuarakan pandangan agar gabungan itu bekerjasama dengan pembangkang bagi mengelakkan negara terjerumus ke dalam kancah kleptokrasi, rasuah dan salah guna kuasa.

Presiden Bersatu itu dilapor berkata beliau mengemukakan cadangan itu kerana berpendapat kepentingan negara lebih utama berbanding parti. – 30 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen