Pakatan hanya bergantung pada Muhyiddin, kata Khaled


Mohd Farhan Darwis

Pakatan Harapan hanya bergantung kepada pengaruh Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin dan faktor itu tidak mampu untuk menguasai kerajaan di Johor, kata Menteri Besar Khaled Nordin. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Februari, 2018.

MENTERI Besar Johor Khaled Nordin berkata Pakatan Harapan (PH) hanya bergantung kepada pengaruh Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin namun tidak mampu menguasai kerajaan di negeri itu.

Adun Permas itu berkata PH malah tidak meletakkan sasaran untuk membentuk kerajaan di Johor.

“Faktor Muhyiddin seolah-olah boleh tawan Johor,” katanya dalam wawancara bersama The Malaysian Insight, di Johor Baru, semalam.

“Kita sedar kalau mereka (PH) tak buat begitu mereka tidak ada peluang. Pembangkang nak beri harapan dan tunjukkan mereka boleh menang sebagai kerajaan.

“Kalau mereka nak perancangan mereka sebagai sesuatu yang boleh dianggap sebagai bermakna, dia (PH) kena tunjukkan dia nak tawan Johor,” katanya.

Muhyiddin membentuk pengaruh di Johor sejak 1976 apabila menjadi ketua Pemuda Umno bahagian Pagoh dan dipilih oleh perdana menteri waktu itu, Dr Mahathir Mohamad untuk bertanding kerusi Parlimen tersebut sejak 1978.

Muhyiddin juga berpengalaman luas sebagai menteri besar di negeri itu selama 10 tahun sebelum dilantik menjadi menteri Kabinet bermula 1985.

Khaled tetap yakin PH hanya bergantung kepada pengaruh Muhyiddin, walaupun kajian menunjukkan sokongan di kalangan pengundi Melayu, yang memberi undi paling besar kepada BN di Johor, semakin merosot.

Kaji selidik Merdeka Center terhadap 1,007 pengundi di negeri itu mendapati sokongan responden Melayu kepada BN merosot daripada 65% kepada 58% pada Januari 2018.

Ini satu perubahan yang ketara berbanding ketika PRU13 lima tahun lepas ketika BN mendapat lebih kurang 83% undi popular daripada pengundi Melayu di Johor.

Kajian itu juga mendapati 21% daripada 55% responden yang tidak puas hati dengan kerajaan persekutuan, meletakkan kos sara hidup sebagai alasan utama kemarahan mereka.

Ini diikuti oleh pengurusan dan pentabdiran yang lemah (14%), rasuah (11%), pengurusan ekonomi lemah (7%), mengabaikan kebajikan rakyat (5%) dan ketidakadilan (4%).

Menteri Besar Johor Khaled Nordin berkata BN akan memastikan impian PH untuk menguasai negeri itu tidak akan terlaksana. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Februari, 2018.

Kaji selidik itu melibatkan 55% responden Melayu, 38% Cina dan 7% India yang berumur tidak kurang 21 tahun. Hampir separuh atau 48% daripada mereka berumur antara 21 hingga 50 tahun.

Khaled berkata BN Johor akan memastikan impian PH untuk menguasai negeri itu tidak akan terlaksana.

“Sebagai parti yang sudah lama, Umno dan BN tidak menyerah dan kami tidak akan tak buat apa-apa. Kita akan lawan dan pastikan mereka tak berjaya,” katanya.

Selain itu, Khaled berkata kerajaan yang kuat juga mampu memastikan ekonomi berkembang dan sekali gus membolehkan kerajaan membantu menangani kos sara hidup yang membebani rakyat.

Bagaimanapun, beliau mengakui keadaan ekonomi yang lemah menyukarkan usaha kerajaan untuk campur tangan dalam pasaran bagi menangani isu kenaikan kos.

“Kita lakukan intervensi. Kos hidup memang akan meningkat. Tidak ada negara dalam dunia yang tahun ini naik kemudian semua turun.

“Itu hanya memberi harapan palsu, soalnya bagaimana kita boleh buat intervensi. Intervensi hanya boleh berlaku kalau kerajaan ada duit, maknanya dalam pembangunan dan pengurusan ekonomi,” katanya. – 26 Februari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen