TAKLIMAT Umno pada hujung minggu lalu memberi banyak erti kepada rakyat di negara kita yang berbilang kaum ini.
Pada keseluruhannya perjumpaan parti itu amat terdesak. Ini dapat dilihat daripada pemidato yang hadir, jurucakap yang dimuat naik secara tiba-tiba, tepuk sorak peserta dan tunjuk perasaan mereka yang kita tidak pasti – benar atau palsu.
.jpg)
Sekaligus, kenyataan yang dilaung mencerminkan banyak hal yang negatif dan membimbangkan tentang parti dan ahli-ahli yang terlibat.
Pemimpin parti, lagaknya seperti tidak kisah tentang apa pandangan dunia terhadap negara kita, Malaysia.
Hampir setiap negara di dunia memandang rendah tentang apa yang telah berlaku.
Kehilangan wang negara berbilion ringgit dan terbukti wang tersebut telah diselewengkan, menjadikan maruah negara tercemar.
Wang yang sepatutnya dibelanjakan untuk pembangunan ekonomi, sosial dan infrastruktur negara telah lesap dalam kes pertama. Ada banyak lagi kes yang masih berjalan dan belum selesai.
Namun, jauh sekali daripada mengakuinya dan memohon maaf atas dosa-dosa yang dilakukan terhadap rakyat dan negara.
Mereka yang hadir tidak langsung menunjukkan sifat simpati dan kasihan terhadap rakyat miskin yang berhempas-pulas untuk memberi makanan kepada keluarga mereka.
Sikap mempertahankan kekayaan dan melindungi ahli-ahli parti yang menjadi kaya-raya dari berbagai hasil curian, sogokan dan pengubahan wang haram, yang tidak halal itu, amat menakutkan dan membimbangkan kita semua.
Inti utama
Ia menjadi tanda tanya yang amat besar tentang hala tuju parti dan undang-undang yang ingin mereka tegakkan.
Pemimpin terlibat menunjukkan tentang sifat-sifat rakus dan ketamakan mereka.
Daripada persidangan itu, ternyata mereka tiada niat untuk menghormati kedaulatan undang-undang negara serta keluhuran perlembagaan yang didukung oleh semua kaum dan lapisan masyarakat.
Mereka hanya mementingkan ketua parti mereka supaya tidak masuk penjara. Yang bersalah dilaungkan sebagai “hero” dan peguam negara dipersalahkan dan minta diganti dengan segera.
Sekiranya peguam negara itu daripada kalangan mereka, semua kesalahan jenayah ketua mereka boleh digugurkan dan mereka akan terlepas dari hukuman penjara. Itulah andaian mereka.
Inilah inti utama taklimat tersebut. Amat di luar jangkaan kita semua, yang masih siuman ini.
Amat menakutkan lagi sekiranya parti ini menang pada PRU15 akan datang dan ketua-ketua mereka berkuasa memerintah kita semua.
Mereka tentunya akan melepaskan diri mereka dari segala kesalahan jenayah yang mereka lakukan.
Mungkin juga ahli-ahli parti akan terus menyokong mereka kerana habuan yang bakal diterima.
Amat menyedihkan apabila jenayah tidak lagi dianggap sebagai satu perkara yang serius. Ia boleh dilepaskan sekiranya ada pihak yang diminta untuk memberi pengampunan.
Jadi, untuk apa lagi negara mempunyai perlembagaan dan undang-undang?
Mereka tidak lagi dihukum, tetapi rakyat biasa akan menerima padahnya. Satu undang-undang kekebalan untuk mereka, dan satu undang-undang kesalahan untuk kita semua.
Pengajaran
Ada beberapa isu yang amat penting yang kita semua mesti melihatnya dan menanganinya dengan serius.
Pengajaran apakah yang parti ini mahu sampaikan kepada kita semua dan anak-anak kita?
Apakah mencuri itu tidak lagi menjadi satu kesalahan, di segi undang-undang negara dan agama yang kita semua anuti?
Apakah rasuah itu tidak lagi keji dan jijik disisi agama?
Apakah pengubahan wang haram itu tidak salah?
Mereka ini semuanya orang dewasa. Punyai pelajaran, punyai keluarga dan mungkin anak-anak remaja juga.
Apakah untuk kepentingan politik, mereka sanggup membelakangi undang-undang dan perlembagaan?
Mereka tidak perlu lagi menunjukkan sifat-sifat yang mulia, menghormati keputusan hakim tertinggi negara? Di mana tanggungjawab mereka?
Pengajaran apa yang ingin mereka sampaikan kepada generasi muda?
Apakah mereka tidak perlu lagi bersikap jujur dan ikhlas?
Tidak perlukah lagi bagi mereka untuk menunjukkan contoh yang terbaik dan amalan yang waras untuk anak-anak muda di segenap lapisan masyarakat yang berbilang kaum di negara ini?
Bagaimana untuk kita berkata, mereka itulah contoh yang terbaik dalam masyarakat kita, yang harus diikuti dan dipelajari oleh anak-anak kita semua.
Alangkah malunya bila dewasa dicemuh oleh anak-anak muda yang dapat melihat perangai ahli-ahli parti ini dengan jelas dan terang.
Kaum majoriti
Sebagai kaum yang menjadi majoriti, yang memerintah negara sekian lama dan mahu menjadi pemimpin untuk semua bangsa, mana sikap rasional dan logik kita?
Apakah kita memaparkan sifat kematangan dan bukannya kebodohan?
Adakah kita menunjukkan kefahaman yang tinggi tentang undang-undang negara?
Atau sebenarnya pengetahuan kita amat cetek dan tidak faham apa yang disampaikan oleh Ketua Hakim Negara?
Kalau beginilah kelakuan dan tindak-tanduk ahli-ahli parti terbesar di negara kita, amatlah malang bagi negara kita Malaysia.
Mana perginya cerdik pandai dalam parti ini?
Ketandusan kepimpinan parti ini memberi gambaran yang amat jelas – negara ini tidak boleh lagi ditadbir urus oleh mereka.
Keyakinan itu tiada lagi, kerana kewarasan untuk memilih antara rasuah atau maruah negara tidak kesampaian. – 30 Ogos, 2022.
* Rosli Khan, pembaca The Malaysian Insight.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen