.jpg)
PADA hari Sabtu lepas, PWTC kubu Umno menyaksikan upacara ritual Bossku. Seperti mana ritual, seluruh acara di PWTC itu tidak lain tidak bukan hanya semata-mata menyelamatkan beberapa individu berkepentingan sahaja bukannya bangsa, agama mahupun Negara.
Salah satu acara yang diselitkan adalah sesi selama lebih kurang 40 – 45 minit “Hujahan” oleh Shafee Abdullah salah seorang peguambela yang mewakili Najib Razak. Ya, Najib Razak yang telah didapati bersalah oleh 3 Mahkamah dan 9 orang Hakim yang bijaksana.
Dihadapan ketua-ketua bahagian, wakil-wakil ahli serta kepimpinan tertinggi Umno, peguam Shafee Abdullah menghujahkan kes Najib Razak seolah-olah hujahan di Mahkamah terbuka. Antara lainnya, dihuraikan serba-serbi fakta kes serta pembelaan Najib Razak.
Shafee Abdullah juga menyatakan sepatutnya tiada rasuah atau habuan yang diterima oleh Najib Razak. Malah dinyatakan pertuduhan Najib Razak tidak masuk
akal. Ditambah pula Shafee Abdullah, dalam 46 tahun beliau menjadi peguam kes ini tidak masuk akal.
Peluang juga diambil di PWTC, dihadapan penonton-penontonnya, untuk melabel media tidak melaporkan keseluruhan pembelaan seadilnya. Malah dikatakan juga dokumen-dokumen penting kes Najib Razak mengenai urusan SRC ada diantaranya ‘cut and paste’.
Ditambah juga bahawa perbuatan salah laku Najib Razak seperti dakwaan Pendakwa Raya tidak dapat dibuktikan. Disahut oleh penonton-penonton di PWTC seperti Najib Razak mangsa penganiayaan.
Dipersoalkan juga bagaimana pertuduhan boleh ditampilkan terhadap Najib Razak sedangkan terlalu banyak (kononnya) kelompangan dalam kes pendakwaan. Dalam bahasa mudah, Shafee Abdullah berhujah Najib Razak tidak bersalah.
Derma Arab juga dibangkitkan. Dua (2) personaliti Umno Jamil Khir dan Anifah Aman dipetik nama juga. Dikatakan Raja Abdullah sayang Najib Razak kerana Najib Razak begitu baik menjaga Malaysia. Kerana peristiwa Arab Spring, Raja Abdullah menganggap Malaysia bukan negara Islam ekstrem, maka dijanjikan pertolongan kepada Najib Razak. Kedengaran tepukan dari penonton-penonton di PWTC yang terpukau mengenangkan kehebatan ‘Boss’ mereka.
Hujahan itu diakhiri dengan Shafee Abdullah membaca dari ‘posting’ Facebook suami kepada Ketua Hakim Negara yang memuji kemenangan Pakatan Harapan pada PRU-14 serta kehebatan Tun Mahathir menjatuhkan kleptokrat Najib Razak.
Dengan nada sinis, dengan senyuman ‘nakal’ Shafee Abdullah seolah-olah mempersoal kewibawaan keputusan Mahkamah pada 23.08.2022 yang diketuai oleh Ketua Hakim Negara.
Pada mereka yang berada di PWTC dan yang menonton atau melihat secara langsung di media sosial, suka saya ingatkan beberapa fakta penting seperti di bawah.
Najib Razak telah dituduh pada 04.07.2018. Terdapat tujuh (7) pertuduhan. Satu (1) salah guna kuasa. Tiga (3) pecah amanah jenayah. Tiga (3) pertuduhan pengubahan wang haram. Kesemuanya untuk amaun sebanyak RM42,000,000.00. Najib Razak juga telah memfailkan pelbagai permohonan di semua peringkat Mahkamah, sehinggalah akhirnya perbicaraan bermula pada 03.04.2019 yakni sembilan (9) bulan selepas pertuduhan dibacakan.
Kemudiannya pada 28.07.2020, Najib Razak pada akhir kes pembelaan didapati bersalah atas kesemua tujuh pertuduhan dan dihukum 12 tahun penjara denda RM210 juta (lima kali ganda RM42 juta). Maknanya selepas kes dijalankan untuk tempoh dua tahun dua puluh empat hari.
Bukan itu sahaja, pada Julai 2020 Najib Razak memfailkan Rayuan ke Mahkamah Rayuan dan menggariskan sebanyak 307 alasan mengapa keputusan Yang Arif Hakim Mahkamah Tinggi tidak selamat. Mahkamah Rayuan mendengar rayuan Najib Razak selama 15 hari dan pada 18.05.2021 menangguhkan rayuan untuk keputusan.
Akhirnya pada 08.12.2021 Mahkamah Rayuan menolak rayuan tersebut dan mengekalkan sabitan dan hukuman. Yakni selepas satu tahun lima bulan selepas keputusan Mahkamah Tinggi.
Najib Razak kemudiannya memfailkan pula Rayuan ke Mahkamah Persekutuan. Di sini Najib Razak cuba pula mendapatkan khidmat Queen’s Counsel dari United Kingdom. Gagal. Dicuba pula menukar peguam dan memohon penangguhan.
Gagal. Dicuba pula permohonan menggantikan Ketua Hakim Negara dek kononnya telah dipengaruhi oleh suaminya. Gagal.
Dari 08.12.2021 sehingga 18.08.2022, tempoh masa lebih kurang lapan (8) bulan berlalu, akhirnya Mahkamah Persekutuan mendengar rayuan akhir Najib Razak.
Pada 23.08.2022, Mahkamah Persekutuan dengan panel lima Hakim mendapati rayuan Najib Razak tidak bermerit. Malah diputuskan juga bahawa fakta kes adalah jelas serta pembelaan Najib Razak adalah langsung tidak konsisten dan tidak boleh dipercayai.
Untuk perhatian mereka-mereka yang hadir di PWTC tempoh hari serta merekamereka yang mendengar kemudiannya amanat dari Shafee Abdullah. Hujahan yang sama telah dibentangkan oleh Shafee Abdullah di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan serta juga difailkan 94 alasan sebagai alasan-alasan rayuan di Mahkamah Persekutuan. Kesemuanya gagal.
Percayalah, sesungguhnya Mahkamah itu di Istana Kehakiman, bukannya di PWTC.
Dan, percayalah pada kedaulatan undang-undang. Sesungguhnya Umno telah jauh songsang dari perjuangan untuk agama, bangsa dan tanah air. – 29 Ogos, 2022.
* Muhammad Rafique bin Rashid Ali Peguambela & Peguamcara Pejuang Shah Alam.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen