AHLI politik luar bandar yang konservatif dan pernah menyuarakan pandangan anti gay dipilih sebagai timbalan perdana menteri Australia, bagi menggantikan Barnaby Joyce yang meletak jawatan susulan skandal hubungan sulit dengan pegawai khasnya yang kini hamil.
Michael McCormack, 53, dipilih oleh National iaitu ahli junior dalam gabungan Liberal-National untuk mengambil alih jawatan timbalan perdana menteri menerusi undi.
“Kami parti untuk peniaga kecil dan petani dan kami mahu memastikan ia berterusan begitu dan akan hanya boleh diteruskan menerusi hubungan rapat dengan Liberal,” kata McCormack kepada wartawan di Canberra selepas memenangi undi itu.
“Saya teruja untuk berbincang dengan Perdana Menteri dan pemimpin Liberal, Malcolm Turnbull sekejap lagi,” katanya.
McCormack, yang berkhidmat sebagai menteri hal ehwal veteran dijangka akan memenangi jawatan itu selepas ahli Parlimen National yang lain menarik diri daripada pertandingan berkenaan.
McCormack tidak sepopular Joyce, yang mendapat perhatian dunia selepas mengugut untuk mematikan anjing bintang Hollywood, Johnny Depp susulan pelanggaran peraturan kuarantin.
Tetapi McCormack dilihat sebagai calon yang dapat mengembalikan hubungan antara parti Liberal dan National yang rosak akibat skandal Joyce.
Ketegangan antara kedua-dua parti itu berlaku selepas Joyce, 50, menjalinkan hubungan sulit dengan bekas kakitangannya, Vikki Campion, 33, dan berita skandal itu menjadi tajuk muka depan akhbar dan media. – AFP, 26 Februari, 2018.
Komen