Mohon maaf atau disaman, kata Zaid kepada presiden badan peguam 


Peguam Zaid Ibrahim menuntut presiden badan peguam Karen Cheah menarik balik kenyataannya mengenai prosiding dalam perbicaraan Najib SRC International, yang menuduhnya tidak profesional.– Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Ogos 2022.

PEGUAM Zaid Ibrahim dan dua rakan kongsinya sedang mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap presiden Badan Peguam Malaysia Karen Cheah berhubung kenyataan akhbar baru-baru ini berhubung representasi mereka dalam rayuan SRC International bekas perdana menteri Najib Razak di Mahkamah Persekutuan.

Dalam surat yang dikeluarkan melalui firma guaman, Zaid Ibrahim Suflan TH Liew & Partners, ketiga-tiga mereka menuntut “penarikan balik dan permohonan maaf sepenuhnya” daripada Cheah menjelang 2 September, jika gagal mereka akan memulakan tindakan undang-undang terhadap presiden badan peguam.

Mereka mendakwa bahawa kenyataan akhbar Cheah pada 19 Ogos adalah “fitnah yang serius”.

Mereka juga berkata kenyataan itu, yang menjadi asas kepada laporan dalam beberapa organisasi berita, secara palsu dan berniat jahat mengandungi kenyataan berhubung tindakan mereka dalam rayuan Najib di Mahkamah Persekutuan.

Peguam berkenaan juga mendakwa kenyataan akhbar oleh Cheah menunjukkan “ia tidak mengambil kira sama ada tuduhan yang diadukan (adalah) benar”.

Mereka berkata kenyataan akhbar itu mencadangkan mereka “sengaja bertindak secara tidak profesional” “dengan agenda yang tidak wajar untuk menyalahgunakan proses mahkamah”, bahawa mereka menggunakan “strategi yang tidak bertanggungjawab”, dan bahawa “kelakuan mereka direka untuk memesongkan perjalanan keadilan” dan “mencemarkan nama baik profesion undang-undang”.

Mereka juga berpendapat bahawa kenyataan akhbar Cheah mencadangkan peguam “tidak profesional, tidak cekap dan tidak tahu peraturan profesional amalan dan etika”, “tidak kesal dalam menyalahgunakan proses mahkamah”, telah bertindak “dengan nyata menghina mahkamah” dan “tidak layak untuk menjalankan amalan sebagai peguam bela dan peguam cara”.

Pada 19 Ogos, Cheah, melalui Badan Peguam Malaysia, telah meluahkan rasa mengenai cara sistem keadilan disalahgunakan dan dicemarkan dalam perbicaraan rayuan SRC International.

Cheah berkata negara telah menyaksikan bagaimana sistem keadilan telah disalahgunakan dan dicemarkan melalui tindakan terburu-buru dan pelbagai percubaan untuk menangguhkan pendengaran rayuan Najib.

Pada 25 Julai, Najib menggugurkan Tetuan Shafee & Co dan mengambil Tetuan Zaid Ibrahim Suflan TH Liew & Partners untuk mewakilinya dalam rayuan terakhirnya di mahkamah tertinggi.

Sebelum dan semasa rayuan, peguam Najib Hisyam Teh Poh Teik beberapa kali memohon untuk menangguhkan perbicaraan tetapi ditolak oleh mahkamah.

Najib kemudian menggugurkan firma guamannya yang baru dilantik sebagai peguam cara serta Zaid, Liew dan Rueben sebagai peguam bersama pada 18 Ogos.

Permintaan yang sama untuk melepaskan Hisyam Teh sebagai peguam utama telah ditolak oleh Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat.

Minggu lalu Najib dihantar ke Penjara Kajang selepas Mahkamah Persekutuan membatalkan rayuannya dan mengekalkan hukumannya dalam kes SRC International Sdn Bhd.

Dalam keputusan sebulat suara, mahkamah tertinggi memerintahkan ahli Parlimen Pekan itu menjalani hukuman penjara 12 tahun serta-merta.

Najib juga perlu membayar denda RM210 juta, jika gagal membayarnya, beliau perlu menjalani hukuman penjara lima tahun lagi. – 29 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen