JERMAN telah menambah semula stok gasnya lebih cepat daripada jangkaan walaupun pengurangan bekalan Rusia yang drastik dan sepatutnya mencapai sasaran awal Oktober, kata kerajaan pada Ahad.
Ekonomi terbesar Eropah itu sangat bergantung kepada gas Rusia dan telah berlumba-lumba untuk meningkatkan rizabnya sebelum musim sejuk selepas penghantaran dari Rusia merudum berikutan perang di Ukraine.
Minggu lepas, pengawal selia tenaga Jerman Federal Network Agency berkata negara itu tidak mungkin mencapai matlamat simpanan stok gasnya.
Namun kerajaan berkata langkah penjimatan tenaga dalam beberapa minggu kebelakangan ini dan pembelian besar-besaran gas daripada pembekal lain menyaksikan “kemajuan yang ketara.”
“Walaupun dalam keadaan yang sukar… rizab dipenuhi lebih cepat daripada jangkaan,” kata Menteri Ekonomi dan Iklim Robert Habeck dalam satu kenyataan.
Sasaran untuk mencapai 85 peratus kapasiti penyimpanan gas menjelang Oktober “harus dicapai pada awal September”, dengan paras semasa pada 82 peratus, tambah kementeriannya.
Gas dari saluran paip utama, Nord Stream, jatuh kepada 20 peratus, dengan Kesatuan Eropah menuduh Moscow menggunakan tenaga sebagai senjata dalam pertikaian dengan Barat ke atas Ukraine.
Bagi mengelakkan risiko kekurangan tenaga, Berlin pada Julai menetapkan satu siri matlamat supaya stok gas mencapai 95 peratus kapasiti menjelang November.
Kerajaan telah memperkenalkan langkah membenarkan lebih banyak tenaga berasaskan arang batu dan mengurangkan penggunaan tenaga di bangunan awam.
Ia juga telah membelanjakan 1.5 bilion euro (AS$1.5 bilion) untuk membeli gas asli cecair, dengan Qatar dan Amerika Syarikat menjadi pembekal utama, dan lima terminal LNG baharu dirancang untuk mengimportnya melalui laut. – AFP, 29 Ogos, 2022.
Komen