Dua wartawan mati ditembak di Colombia


Dua wartawan ditembak mati manakala seorang individu cedera parah selepas pulang dari membuat liputan karnival jalanan di Santa Rosa de Lima, menurut polis Colombia. – Gambar EPA, 29 Ogos, 2022.

PENYERANG yang menunggang motosikal menembak dan membunuh dua wartawan di Colombia pada Ahad ketika mereka pulang dari membuat liputan karnival, kata polis.

Kedua-duanya bekerja untuk laman web berita Sol Digital yang berpangkalan di Fundacion di pantai Caribbean, dan mereka dikenali sebagai Leiner Montero Ortega, 37, dan Dilia Contreras Cantillo, 39, kata Ketua Polis Magdalena, Andres Serna.

Dua wartawan itu sedang memandu pulang ke Fundacion dari bandar Santa Rosa de Lima, tempat mereka membuat liputan festival jalanan apabila penyerang menembak mereka, kata Serna.

Beliau berkata seorang lagi cedera, tetapi tidak menyatakan sama ada dia wartawan atau tidak.

Polis berpendapat tembakan itu berpunca daripada beberapa pertengkaran di karnival itu.

Tetapi Free Press Foundation menggesa polis “untuk mengambil kira kerja Leiner dan Dilia sebagai wartawan” semasa mereka menyiasat jenayah itu.

Yayasan itu berkata tahun lepas 768 wartawan di Colombia mengalami beberapa jenis keganasan, termasuk pembunuhan.

Serna mengadakan mesyuarat tergempar pegawai polis di Fundacion, yang menurut kerajaan adalah antara yang paling teruk di Colombia dari segi keganasan, kemiskinan, aktiviti ekonomi pasaran gelap dan institusi kerajaan yang lemah.

Sejak perjanjian damai dengan pemberontak FARC ditandatangani pada 2016, 10 wartawan di Colombia telah terbunuh.

Ia menjadikan negara tersebut ketiga paling bahaya bagi wartawan di Amerika Latin, selepas Venezuela dan Mexico, menurut Reporters without Borders.

“Kami mengutuk pembunuhan wartawan,” kata Juan Pappier, seorang penyelidik kanan di Human Rights Watch. – AFP, 29 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen