BUKIT Aman akan memanggil Abdul Hadi Awang berhubung kenyataan presiden PAS itu yang menuduh orang bukan Islam dan bukan Bumiputera menjadi punca rasuah di negara ini, minggu lalu.
Ketua Komunikasi Korporat Bukit Aman Asisten Komisioner Skandaguru Anandan dalam satu kenyataan berkata siasatan sedang dijalankan berhubung komen berbaur perkauman daripada Hadi selepas pihak polis menerima 28 laporan terhadap Ahli Parlimen Marang itu.
“Siasatan dijalankan Bahagian Pendakwaan dan Undang-undang (D5) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Bukit Aman mengikut Seksyen 505(C) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Seksyen 505(C) Kanun Keseksaan adalah kesalahan membuat, menerbitkan atau mengedarkan apa-apa kenyataan, khabar angin atau laporan dengan niat mendatangkan kegusaran awam.
Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 adalah untuk penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.
Pada 20 Ogos, Hadi menggunakan akaun Facebook miliknya dan menyalahkan orang Melayu kerana bersikap tidak peduli terhadap pengundian hingga menyebabkan bukan Melayu dan golongan “liberal” menguasai politik negara pada pilihan raya umum lalu.
Awal hari ini, Pengerusi DAP Lim Guan Eng mempersoalkan sama ada polis akan mengambil tindakan atau tidak terhadap Hadi.
Bekas menteri kewangan itu berkata banyak laporan polis difailkan terhadap Hadi di seluruh negara tetapi pihak berkuasa masih belum mengambil sebarang tindakan.
Hadi mendapat kecaman minggu lalu selepas beliau berkata kebanyakan pelaku rasuah di Malaysia adalah bukan Islam dan bukan Bumiputera.
Katanya, hanya orang Islam yang mempunyai integriti.
Lim melabelkan Hadi sebagai rasis yang menentang perpaduan kaum.
Lim menggesa rakyat Malaysia supaya tidak terpedaya dengan retorik Hadi yang menyebarkan api kebencian terhadap kaum minoriti.
DAP juga membuat laporan polis terhadap Hadi.
Semalam beberapa kumpulan di Sarawak membuat laporan polis terhadap Hadi. Mereka adalah Persatuan Aspirasi Rakyat Sarawak, Dayak Bukit Kelinkang, Persatuan Adat Asal Bidoyoh Sarawak, Persatuan Dayak Sarawak dan SMETAP. – 28 Ogos, 2022.
Komen