Perbincangan kerusi 6 negeri Pakatan bermula di peringkat nasional hari ini


Zulkifli Sulong

Pakatan Harapan akan mengadakan perbincangan pembahagian kerusi untuk enam negeri di Semenanjung di peringkat nasional hari ini selepas ia gagal diselesaikan di peringkat negeri. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Februari, 2018.

SELEPAS gagal diselesaikan di peringkat negeri, perbincangan pembahagian kerusi Pakatan Harapan (PH) di enam negeri di Semenanjung akan bermula di peringkat nasional hari ini.

Perbincangan untuk Terengganu, Kelantan, Perak dan Pahang dijangka akan berlangsung hari ini manakala Selangor dan Melaka selepas itu.

Perbincangan akan diadakan di ibu pejabat Bersatu di Petaling Jaya.

“Selangor dan Melaka akan dijalankan selepas empat negeri itu selesai bersidang,” kata Pengerusi Amanah Selangor Izham Hashim.

Dua negeri lagi yang gagal diselesaikan di peringkat negeri, iaitu Kedah dan Pulau Pinang dari awal lagi dibawa ke peringkat nasional dan kini selesai.

Majlis Presiden PH yang dipengerusikan oleh Dr Mahathir Mohamad sebelum ini menyerahkan perbincangan pembahagian kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kepada negeri masing-masing selepas pembahagian kerusi peringkat Parlimen diselesaikan mereka.

Dalam perundingan itu, Bersatu mendapat 52 kerusi, PKR (51), DAP (35) manakala Amanah (27) tidak termasuk kerusi Sabah dan Sarawak yang masih dalam perundingan.

Mana-mana negeri yang gagal menyelesaikannya akan dibawa ke peringkat nasional di mana perundingnya akan diwakili oleh dua pemimpin nasional setiap parti (lapan anggota) serta pengerusi bagi setiap negeri (empat anggota lagi) ketika rundingan itu dijalankan.

Izham berkata Amanah melantik dua perunding iaitu Khalid Samad dan Dr Dzulkefly Ahmad.

Perbincangan kerusi untuk Selangor dibawa ke peringkat nasional selepas ia gagal diselesaikan di peringkat negeri mengikut tarikh yang diberikan hingga Ahad semalam.

Ia tarikh akhir kedua diberikan selepas melepasi tarikh sebelum ini iaitu Jumaat lepas.

Masa untuk Selangor diberikan sehingga hujung minggu iaitu Ahad semalam, namun ia gagal diselesaikan di peringkat negeri.

“Nampaknya belum selesai. Jadi terpaksa dibawa ke pusat,” kata Izham kepada The Malaysian Insight lewat petang semalam.

The Malaysian Insight difahamkan, sehingga hari ini persetujuan yang dicapai adalah mengekalkan kesemua kerusi yang  dimenangi oleh setiap parti iaitu PKR 13, DAP (15) dan Amanah (2) iaitu 30 daripada 56 kerusi di Selangor.

Manakala kerusi yang belum dimenangi oleh mana-mana anggota komponen PH itu mendapat tuntutan bertindih antara parti.

PKR didakwa menuntut 24 kerusi, iaitu tiga kerusi tambahan berbanding 21 kerusi semasa PRU13, DAP menuntut 17 berbanding 15 kerusi sebelum ini, Amanah (13) manakala Bersatu (12) daripada 56 kerusi DUN. – 26 Februari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen