Najib mangsa pendakwaan politik, kata Zahid


Noel Achariam

Ahmad Zahid ketika berucap di hadapan ahli Umno pada sesi Taklimat Khas Presiden Umno di WTC Kuala Lumpur, hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 27 Ogos, 2022.

NAJIB Razak adalah mangsa pendakwaan politik dan beliau tidak pernah menggesa agar kes rasuahnya digugurkan kata Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi hari ini.

Katanya Umno akan tetap bertegas bahawa pendakwaan terhadap Najib merupakan pendakwaan politik.

“Saya sendiri menjadi saksi, beliau secara konsisten berpegang kepada pendirian tidak mahu kesnya digugurkan.

“Tetapi sebaliknya, beliau mahu membersihkan diri dan dan nama baik keluarganya di mahkamah,” katanya pada sesi Taklimat Khas Presiden Umno di WTC Kuala Lumpur, hari ini.

Pada Selasa, panel lima hakim Mahkamah Persekutuan dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat menolak rayuan Najib Razak dan mengekalkan hukuman dijatuhi Mahkamah Tinggi terhadap bekas perdana menteri itu berhubung kes SRC International Sdn Bhd.

Mahkamah mengarahkan Najib menjalani hukuman penjara 12 tahun itu serta merta.

Selain itu, Najib juga dikenakan denda RM210 juta dan jika gagal bayar hukuman penjara ditambah lima tahun lagi.

Kata Zahid, Najib hanya meminta penangguhan bagi membolehkan barisan peguam baharunya membuat persediaan rapi untuk perbicaraan tersebut bukannya menuntut kes itu digugurkan atau sengaja melengahkan kes tersebut.

“Apa yang diminta hanya pertimbangan untuk benarkan setiap sudut undang-undang itu dipertimbangkan.

“Tapi semua itu dinafikan. Jadi apa salahnya jika rakyat mula membuat pelbagai andaian dan mempertikaikan proses pendakwaan seperti ini,” katanya.

Menurut Zahid walaupun beliau bukan seorang pengamal undang-undang namun berdasarkan pandangan pakar, tindakan menukar hakim, mengemukakan bukti baharu, menukar peguam adalah sebahagian daripada proses mencari keadilan.

“Ini bukan pelanggaran sebaliknya ia menjadi terjemahan kepada prinsip keadilan mesti dilihat untuk dilaksanakan,” katanya.

Dalam ucapan sama Zahid turut melancarkan kempen ‘Nukilan buat Najib’ dalam usaha meneruskan perjuangan Najib.

“Tulislah ucapan masing-masing. berilah kata-kata semangat, perangsang dan terima kasih kepada beliau. Ibu pejabat akan mengumpulkannya dan menjadi surat rakyat untuk tatapan Najib yang sedang terkurung di sana.

“Kita mesti bersedia memberi sokongan kepada kempen petisyen pengampunan kepada Najib.

“Kita serah kepada kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong untuk menilai dan melaksanakannya,” katanya. – 27 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen