Mahu PRU15 awal tunjuk BN tidak kuat mana, kata Muhyiddin


Mohd Farhan Darwis

Perikatan Nasional sentiasa bersedia memandangkan pihaknya juga mendapat laporan sokongan rakyat terhadap Umno dan Barisan Nasional (BN) semakin merosot, kata Muhyiddin Yassin. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 27 Ogos, 2022.

PERIKATAN Nasional (PN) sentiasa bersedia menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada bila-bila masa sahaja sekiranya Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob menuruti kehendak pimpinan Umno yang mahukan pilihan raya diadakan lebih awal, kata Pengerusinya Muhyiddin Yassin.

Presiden Bersatu itu berkata, PN sentiasa bersedia memandangkan pihaknya juga mendapat laporan sokongan rakyat terhadap Umno dan Barisan Nasional (BN) semakin merosot.

“Walau apa pun, kita bersedia untuk menghadapi pilihan raya pada bila-bila masa kalau ikut adat kebiasaannya pun, kita telah masuk ke tahun terakhir bagi penggal pilihanraya ini. 

“Jadi kalau esok perdana menteri menghadap Yang Di-Pertuan Agong untuk mohon perkenan bagi membubarkan Parlimen, kita anak jantan sedia masuk gelanggang!” kata Muhyiddin.

Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, kenyataan Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini yang mengatakan BN akan tewas jika PRU15 berlangsung tahun hadapan mendedahkan parti itu semakin terdesak.

“Saya seronok baca kenyataan ini. Maknanya, mereka tu taklah kuat sangat.

“Kita juga dapat laporan kepercayaan rakyat terhadap BN makin merosot, apatah lagi tujuan desakan supaya pilihanraya diadakan lebih awal adalah semata-mata untuk mendapatkan kembali kuasa bagi menyelamatkan pihak-pihak tertentu daripada hukuman mahkamah,” kata Muhyiddin

Disebabkan itu katanya, PN yakin rakyat tidak akan membiarkan perkara itu berlaku.

“Saya tidak fikir rakyat Malaysia akan membiarkan perkara ini berlaku. Jadi sama ada pilihanraya tahun ini atau tahun depan, bagi kita sama saja. 

“Prinsip kita ialah lawan yang mungkar, pilih integriti dan terus prihatin kepada rakyat kerana itu lah tujuan kita berada di dalam wadah PN,” katanya.

Beliau turut mengingatkan Ismail Sabri mereka mempunyai perjanjian bersama untuk berunding menentukan tarikh PRU15.

“Kalau mengikut perjanjian antara PN dan perdana menteri yang saya dan perdana menteri tandatangan, bila perdana menteri nak tentukan tarikh pilihanraya, beliau kena runding dengan kita dulu kerana kita juga adalah sebahagian daripada kerajaan. 

“Tak tahu lah saya samada perdanaenteri masih ingat adanya perjanjian itu,” kata Muhyiddin. – 27 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen