PN tidak macam BN kaut mana sempat, kata Muhyiddin


Mohd Farhan Darwis

Muhyiddin Yassin menegaskan, sepanjang 17 bulan pentadbirannya, lebih setengah trilion ringgit dibelanjakan untuk pakej rangsangan ekonomi dan bantuan kebajikan rakyat. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 27 Ogos, 2022.

PENGERUSI Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin menegaskan beliau tidak pernah mengambil walau sesen dana rakyat sewaktu menjadi perdana menteri, sebaliknya mengarahkan Menteri Kewangan ketika itu Tengku Zafrul Abdul Aziz untuk mencari sumber dana untuk diberikan kepada rakyat.

Katanya lagi, keadaan bagaimanapun berbeza hari ini buat Tengku Zafrul, yang kini menteri kewangan bersama Barisan Nasional (BN) apabila Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi didakwa mengarahkannya untuk “mengambil apa yang sempat”.

“Sekadar perbandingan, baru-baru ini saya lihat satu video yang viral tentang ucapan pengerusi BN di Konvensyen BN Selangor. Dia bagi arahan kepada menteri kewangan – ‘jangan ambil kesempatan, tapi ambillah mana yang sempat!’ 

“Dia sebut ini secara serius dan disambut dengan gelak ketawa oleh para hadirin, seolahnya semua yang hadir faham apa maksud dia. 

“Inilah beza PN dan BN, saya beri arahan kepada menteri kewangan supaya cari duit untuk diberikan kepada rakyat yang susah, pengerusi BN pula beri arahan kepada menteri kewangan supaya kaut apa yang ada selagi sempat untuk kepentingan suku-sakat mereka.  

“Ya, saya pun faham maksud dia dan saya fikir saudara dan saudari pun faham apa maksudnya, tak perlu saya terangkan,” kata Muhyiddin.

Presiden Bersatu itu berkata demikian ketika berucap di konvensyen PN di Serdang, hari ini bersempena ulang tahun kedua gabungan politik itu.

Muhyiddin menegaskan, sepanjang 17 bulan pentadbirannya, lebih setengah trilion ringgit dibelanjakan untuk pakej rangsangan ekonomi dan bantuan kebajikan rakyat memandangkan negara waktu itu berada dalam krisis kesihatan dan ekonomi akibat pandemik Covid-19 dan Tempoh Kawalan Pergerakan (PKP).

Waktu itu katanya, kerajaan PN dapat menyalurkan lapan pakej rangsangan ekonomi dan bantuan rakyat bernilai RM530 bilion.

“Ini adalah pakej bantuan rakyat yang paling besar dalam sejarah negara kita,” kata ahli Parlimen Pagoh itu.

“Satu sen haram saya tak makan duit itu, duit rakyat,” katanya.

Tambahnya, sikap itu menunjukkan perbezaan ketara antara PN berbanding BN sekaligus rakyat harus bijak membuat perbandingan untuk mengundi pada PRU15. 

“Walaupun PN dan BN nama dan logo agak hampir sama, lepas PRU15 saya harap kita tukar semua. 

“Bezanya jauh ibarat langit dan bumi, saya harap para pengundi jangan salah memilih dalam PRU 15 nanti. Pilih PN bukan BN,” kata Muhyiddin lagi.

Tengku Zafrul di bawa menyertai Kabinet oleh Muhyiddin sewaktu pentadbiran PN disebabkan percaturan politik menyaksikan Pakatan Harapan (PH) hilang kuasa selepas hanya 22 bulan memerintah Putrajaya selepas menewaskan BN pada PRU14.

Muhyiddin dan PN bagaimanapun hanya bertahan 17 bulan selepas sekumpulan ahli Parlimen Umno menarik sokongan mereka.

Dalam pembentukan Kabinet baharu kerajaan Perdana Menteri yang juga pimpinan Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob, Tengku Zafrul dikekalkan sebagai menteri kewangan.

Senator itu kini dilantik sebagai bendahari Umno Selangor, serta berkemungkinan besar dicalonkan atas tiket BN untuk PRU15. – 27 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen