Ismail Sabri tak tahu urus negara, kata Dr Mahathir


Raevathi Supramaniam

Sekarang kita ada sekumpulan orang yang matlamatnya hanya mahu jadi PM. Apa yang PM patut buat, mereka tak tahu, kata Dr Mahathir Mohamad. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 27 Ogos, 2022.

PERDANA Menteri Ismail Sabri Yaakob tidak berpengalaman dan tidak tahu bagaimana hendak menguruskan negara, kata Dr Mahathir Mohamad hari ini.

Bekas perdana menteri dua kali itu juga berkata yang Ismail ada berjumpanya sebelum dilantik menjadi perdana menteri, tetapi tiada pertemuan diadakan selepas pelantikan.

“Ismail tidak ada pengalaman dan tidak ada idea,” katanya pada sidang media selepas berucap pada Konvensyen Nasional Berjasa.

“Jika awak PM, awak perlu ada akal selesaikan masalah, dan kita ada banyak masalah sekarang, ekonomi, politik, isu sosial dan hal ehwal asing.”

Apabila ditanya pandangannya tentang kemungkinan pilihan raya diadakan tahun ini kerana Ismail sedang berdepan tekanan daripada partinya sendiri, Umno, pengerusi Gerakan Tanah Air itu berkata ia rendah.

“Secara peribadinya saya tidak fikir tahun ini, tetapi kita tak tahu,” katanya.

“Ahmad Zahid Hamidi (presiden Umno) mahu pilihan raya tahun ini kerana dia berdepan (kes) mahkamah tetapi PM tak berapa berminat.

“Jika ada pilihan raya, Ismail tidak akan dapat terus pegang jawatan, dia tidak akan kekal sebagai PM. Dia sekarang tengah menikmati (jawatan) PM dan mahu berbuat demikian selagi boleh.

“Sekarang kita ada sekumpulan orang yang matlamatnya hanya mahu jadi PM. Apa yang PM patut buat, mereka tak tahu.

“Mereka keluarkan idea untuk terus jadi PM, bukan untuk berkhidmat kepada rakyat dan negara, ini yang PM kita ada sekarang.

“Kita ada empat PM selepas merdeka dan kita ada kerajaan yang baik, tetapi sekarang penjawat awam pun korup kerana orang-orang seperti ini.”

Satu lagi sebab, menurut Dr Mahathir, kemungkinan pilihan raya diadakan tahun ini adalah rendah kerana Umno juga sedang berpecah belah.

“Mereka berpecah, tidak ada satu pandangan, mereka semua ada pandangan berbeza, pemimpin tidak bersatu.

“Hari ini (di mesyuarat Majlis Tertinggi Umno) mereka akan cuba tarik sokongan daripada semua ahli, tetapi saya yakin tidak semua akan hadir.” – 27 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen