PIHAK berkuasa Argentina merampas 1.6 tan kokain yang disembunyikan dalam makanan haiwan untuk dihantar ke Dubai dan menahan 12 individu, kata polis semalam.
Operasi rampasan yang dijalankan semalaman dari Khamis hingga semalam di pusat bandar Rosario, memperlihatkan peranan dimainkan oleh pelabuhan Argentina dalam mengedar dadah Amerika Selatan di peringkat antarabangsa.
“Kokain itu bernilai kira-kira AS$60 (RM268) juta,” kata Mariano Giuffra, ketua jabatan dadah berbahaya polis persekutuan.
Tangkapan itu berlaku di pelbagai lokasi di seluruh negara.
“Mereka semua warga Argentina dan sebahagian daripada mereka adalah pengedar dadah yang dikenali,” tambah Giuffra.
Beberapa senjata api, kereta sport dan sejumlah besar wang tunai turut dirampas.
Rosario, terletak 310km dari Buenos Aires, ialah bandar ketiga terbesar di Argentina dan pelabuhan utama untuk eksport pertanian ke Atlantik.
Ia juga merupakan bandar paling ganas di Argentina, dengan kadar pembunuhan tiga kali ganda purata negara.
Kokain itu disembunyikan dalam beg makanan jagung yang akan dihantar ke Dubai.
Polis berkata kokain itu mungkin berasal dari Colombia, pengeluar dadah terbesar di dunia.
Walaupun kebanyakan kokain dihasilkan oleh Colombia, Peru dan Bolivia, pakar berkata Argentina mempunyai peranan yang semakin penting dalam pengedaran dadah.
Argentina mempunyai beberapa pelabuhan utama, mempunyai bekalan bahan kimia berkualiti besar yang diperlukan untuk menukar daun koka menjadi kokain, dan menyediakan peluang luas bagi aktiviti pengubahan wang haram. – AFP, 27 Ogos, 2022.
Komen