Moderna saman Pfizer, BioNTech, dakwa langgar paten vaksin Covid-19


Moderna dakwa vaksin Covid-19 Pfizer dan BioNTech Comirnaty melanggar paten yang difailkannya antara 2010 dan 2016 meliputi teknologi asas mRNA. – Gambar EPA, 27 Ogos, 2022.

MODERNA pada Jumaat berkata ia memfailkan saman terhadap rakan kongsinya Pfizer dan BioNTech, mendakwa ia melanggar paten penghasilan vaksin Covid-19.

Tuntutan undang-undang itu mencetuskan pertarungan berisiko tinggi antara pengeluar terkemuka vaksin Covid-19 yang menjadi cara utama memerangi penyakit itu.

“Moderna percaya vaksin Covid-19 Pfizer dan BioNTech Comirnaty melanggar paten yang difailkan Moderna antara 2010 dan 2016 meliputi teknologi asas mRNA Moderna,” kata firma bioteknologi yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) itu dalam satu kenyataan.

“Pfizer dan BioNTech meniru teknologi ini tanpa kebenaran Moderna, untuk membuat Comirnaty,” dakwa Moderna.

Pfizer dan BioNTech berkata mereka sedar mengenai litigasi itu, dan masing-masing mengeluarkan kenyataan menafikan sebarang salah laku.

“Hasil kerja BioNTech adalah asli, dan kami akan mempertahankan dengan bersungguh-sungguh terhadap semua dakwaan pelanggaran paten,” kata firma itu sambil menambah ia menghormati hak harta intelek.

Pfizer berjanji untuk mempertahankan terhadap dakwaan tuntutan mahkamah itu.

Teknologi mRNA yang digunakan dalam vaksin Moderna dan Pfizer-BioNTech berbeza daripada vaksin tradisional, yang bergantung kepada suntikan bentuk virus yang lemah atau mati untuk membolehkan sistem imun mengenalinya dan membina antibodi.

Sebaliknya, vaksin mRNA menyampaikan arahan kepada sel untuk membina sekeping protein spike tidak berbahaya yang terdapat pada permukaan virus yang menyebabkan Covid-19.

Selepas mencipta protein spike ini, sel boleh mengenali dan melawan virus sebenar, yang dipuji sebagai kemajuan besar dalam pembangunan vaksin.

Moderna berkata ia telah mula membina teknologi itu pada 2010 dan mempatenkannya pada 2015 dan 2016, yang membolehkannya mengeluarkan vaksin dalam tempoh singkat selepas pandemik melanda.

Virus itu membunuh sekurang-kurangnya 6.48 juta orang di seluruh dunia sejak 2020 dan menyebabkan hampir 600 juta orang sakit, menurut Universiti Johns Hopkins.

Selain kematian dan penderitaan, penyakit itu membawa kepada pembentukan semula kehidupan daripada perubahan dalam norma bekerja dari rumah kepada kekurangan rantaian bekalan dan tenaga kerja.

Moderna berkata ia berjanji pada Oktober 2020 untuk tidak menguatkuasakan paten berkaitan Covid-19 ketika pandemik, tetapi kurang dua tahun kemudian mengubah pendirian itu.

“Moderna menjangka syarikat seperti Pfizer dan BioNTech menghormati hak harta inteleknya dan akan mempertimbangkan lesen komersial sekiranya mereka memohonnya untuk pasaran lain,” katanya.

“Pfizer dan BioNTech  gagal berbuat demikian,” tambah firma itu.

Tindakan undang-undang ini tidak pernah berlaku dalam industri farmaseutikal, di mana paten boleh bernilai berbilion dolar, dan boleh mengambil masa bertahun-tahun untuk diselesaikan.

“Ia adalah satu kejadian yang dikesali tetapi agak kerap apabila syarikat lain membuat dakwaan produk yang berjaya berkemungkinan melanggar hak harta intelek mereka,” kata BioNTech dalam satu kenyataan. – AFP, 27 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen