APA yang paling penting ketika menulis pandangan atau luahan perasaan? Waras, jangan juling.
Dalam konteks permasalahan pembinaan negara bangsa (nation building), komuniti politik aliran yang dikatakan progresif dan pelbagai kaum ketika ini sedang mendakwa politik Gerakan Tanah Air (GTA) yang dilancarkan oleh Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini sebagai tidak relevan malah ada sesetengahnya menganggap ia “perkauman” walaupun mereka segan menyebutnya secara jelas. Ini naratif politik mereka yang sedang dijual.
Melayu dan bukan Melayu dari kumpulan progresif ini ada dalam banyak parti seperti Amanah, DAP dan PKR. Malah, suatu ketika saya sendiri pernah berada dalam DAP selama hampir 11 tahun.
-2.jpg)
Realiti politik
Permasalah rakyat, dari isu kecil seperti penyelenggaraan parit hingga ke isu besar seperti masalah harga barang keperluan, kos sara hidup hinggalah kepada masalah negara seperti isu pendidikan, ekonomi dan sebagainya. Semua ini berpunca pada satu masalah iaitu rasuah.
Masalah rasuah ini bukan terhenti setakat ringgit dan sen sahaja, ia meliputi masalah salah guna kuasa pemimpin besar dan masalah sikap dalam kalangan pemimpin kecil.
Masalah ini menjadi suatu budaya dan ekosistem yang diamalkan di kebanyakan tempat.
Tetapi kenapa GTA bercakap dan mengaitkan masalah rasuah ini dengan Melayu?
Dari banyak laporan audit dan badan-badan kerajaan mahupun bukan kerajaan, sektor yang paling terdedah dan berlakunya rasuah adalah di dalam sektor awam.
Maka, tidak dapat tidak kita harus sedar bahawa sektor awam ini majoritinya adalah orang Melayu.
Justeru, adakah laporan dan fakta ini rasis?
Adakah Dr Mahathir atau GTA yang bercakap atas fakta ini juga rasis?
Bagi Melayu yang merasakan diri mereka progresif yang lebih kehadapan dari GTA, saya ingin bertanya, adakah dengan tidak menyebut fakta ini (menyembunyikan fakta) sikap seorang yang progresif?
Lakonan orang progresif
Kita perlu jelas apa makna “progresif” dalam politik sebelum menuduh pandangan lain sebagai rasis. Umumnya, progresif ini suatu sifat dan usaha ke arah pembaikan.
Adakah ia suatu langkah yang “regresif” jika GTA mahu kakitangan awam (majoritinya Melayu) atau pemimpin politik, terdiri dari mereka yang amanah, berintegriti dan cekap?
Adakah mereka yang mempunyai sifat amanah dan bersih ini rasis? Apabila seseorang itu berintegriti, adakah mereka akan mengancam nasib kaum minoriti yang lain?
Saya melihat, mereka yang berlakon menjadi progresif ini bimbang dengan GTA bukan kerana isu rasis. Tetapi kerana GTA ini akan mengancam dasar mereka iaitu politik kepelbagaian, kesamarataan dan peluang berdasarkan merit.
Saya amat menyedari di belakang dasar progresif ini ialah agenda pengembangan kuasa politik mereka untuk menguasai kuasa politik Melayu, itu sahaja.
Saya beri satu lagi contoh lakonan kumpulan progresif ini. Kita pernah mendakwa Najib menggunakan politik wang untuk menarik sokongan rakyat dan Melayu Islam untuk kepentingan politik beliau.
Kita bersetuju, tetapi pada masa yang sama, kita juga lihat pentadbiran Lim Guan Eng di Pulau Pinang pun melakukan perkara yang sama iaitu gunakan wang rakyat untuk dapatkan sokongan orang Islam, guru agama dan lain-lain. Jadi progresifnya di mana?
Saya ada menonton wawancara Naib Presiden Amanah Mujahid Yusof Rawa bersama The Malaysian Insight yang diterbitkan pada 14 Ogos 2022 yang lalu. Beliau bercakap tentang Dr Mahathir tidak melakukan apa-apa ketika menjadi kerajaan selama 22 bulan.
Tidak perlu saya bertanya soalan yang sama kepada Mujahid; bagi saya dia boleh ukur sendiri prestasi dia sendiri.
Politik parti Amanah sejak mula ditubuhkan hingga hari ini amat bergantung nyawa dengan bantuan DAP. Amanah diperlukan hanya sebagai sayap DAP untuk mendapatkan sedikit undi Melayu Islam dan melunakkan imej politik progresif parti pelbagai kaum ini, itu sahaja.
Bagi anak-anak muda yang merasakan gagasan politik Melayu Islam GTA ini tidak relevan, mereka boleh semak kembali pandangan mereka kerana barangkali mereka melihat persoalan Melayu ini dari kaca mata Umno atau DAP – yang juling. Atau, mereka melihat Islam ini dari perspektif Islam PAS – yang jumud.
Jadilah apa saja yang anda mahu, tetapi jangan jadi manusia atau Melayu yang keliru. – 26 Ogos, 2022.
* Mahdzir Ibrahim, ahli Pejuang
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen