SPRM panggil beberapa individu berhubung kes salah guna kuasa KLFA


Kalidevi Mogan Kumarappa

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memanggil beberapa individu untuk direkod kenyataan bagi membantu siasatan kes pecah amanah dan salah guna kuasa membabitkan Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) dalam masa terdekat.

Sumber berkata, SPRM juga telah melakukan serbuan dan siasatan ke atas pejabat KLFA dan KL City minggu lalu susulan daripada aduan mengenai kes pecah amanah membabitkan wang tajaan Kuala Lumpur City FC (KL City) bernilai lebih RM3 juta dan tanah Akademi KLFA di Desa Melawati.

“Beberapa saksi akan dipanggil dalam masa terdekat untuk direkod keterangan.

“Ketika ini, dokumen yang diperoleh dari pejabat KLFA minggu lalu sudah dihantar ke bahagian forensik untuk dianalisa dan SPRM akan meneliti proses penggunaan dana tajaan ini sama ada mengikut peraturan yang ditetapkan,” kata sumber kepada The Malaysian Insight.

Sumber berkata, aduan dibuat kepada SPRM selepas proses keluar masuk kewangan selain tindakan pegawai atasan KLFA yang melakukan perjanjian kerjasama dengan mencagarkan tanah akademi tanpa pengetahuan exco KLFA bagi tujuan tertentu.

“Perkara ini pernah kecoh dalam mesyuarat exco yang meminta pegawai atasan KLFA menjelaskan mengenai dana tajaan dan tanah akademi, tapi tidak dapat jawapan memuaskan.

“Susulan itu, aduan dibuat kepada SPRM,” kata sumber.

Difahamkan, tanah Akademi KLFA sudah diserahkan kepada syarikat swasta dan dana bernilau jutaan ringgit telah diterima KLFA sebagai hasil kerjasama itu.

Namun, masalah tunggakan gaji membabitkan pemain KL City pada awal musim ini, menyaksikan pegawai atasan mengubah perjanjian dengan pihak lain tanpa proses yang betul.

Difahamkan tanah itu kemudiannya diberikan kepada sebuah syarikat hartanah dengan nilai RM3 juta.

Pengarah Kanan Siasatan, SPRM, Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan siasatan sedang dijalankan ke atas persatuan bola sepak itu.

Katanya, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009. – 26 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen