PERANCIS berjaya mengagalkan dua cubaan serangan pengganas menyasarkan sebuah pasukan sukan terkenal dan pasukan bersenjata, kata Menteri Dalam Negeri Gerard Collomb hari ini.
Paris masih diletakkan di bawah tahap amaran tertinggi selepas serangan militan Islam sejak tiga tahun lepas.
“Sejak 1 Januari, kami menggagalkan dua cubaan serangan dan menahan beberapa orang terlibat,” kata Collomb di radio Europe 1.
Salah satunya adalah “di timur” negara itu dan satu lagi “di barat”, katanya. Satunya menyasarkan pasukan sukan terkenal dan “orang muda menjadi sasaran”, satu lagi menyasarkan pasukan bersenjata.
Katanya, polis memantau beberapa orang disyaki pengganas Islam dan menahan mereka.
“Kerana itulah kami berjaya gagalkan plot serangan itu” kata Collomb tetapi enggan memberikan butiran lanjut lokasi sasaran.
Mengikut angka rasmi, 20 cubaan serangan berjaya digagalkan di Perancis pada 2017.
Pada November 2015, Paris dilanda serangan pengganas didakwa dilakukan pengganas Islam- di dewan konsert Bataclan, bar di kota Paris dan Stadium State de France- membunuh 130 orang.
Pada Januari 2015, dua pengganas warga Perancis yang setia kepada Al-Qaeda membunuh 11 orang di pejabat akhbar satira Perancis, Charlie Hebdo.
Tiga orang terbunuh dalam dua serangan berbeza di Perancis tahun lepas didakwa dilakukan Kumpulan Negara Islam Syria dan Iraq (IS). Serangan pertama berlaku pada April di Champs-Elysees dan satu lagi pada Oktober di stesyen keretapi bandar Marseille.
November lalu, polis anti keganasan menahan 10 orang di Perancis dan Switzerland kerana “kenyataan melampau” dilakukan mereka menerusi aplikasi Telegram. – AFP, 25 Februari, 2018.
Komen