TIMBALAN Menteri Dalam Negeri Nur Jazlan Mohamed mengingatkan warga kawasan Parlimen Pulai untuk menolak politik perkauman yang memecahbelahkan perpaduan.
Dalam ucapan di satu acara sambutan Tahun Baru Cina hari ini, beliau antara lain mengingatkan mengenai kesudian kesultanan Johor untuk menerima pedagang Tionghua untuk menetap di negeri itu sebelum ini.
“Mungkin ramai tidak sedar akan sejarah lampau tetapi sebenarnya sifat keharmonian ini memang sinonim dengan konsep Bangsa Johor.
“Bermula dari kurun ke-19 di mana kesultanan Johor telah sudi menerima kehadiran pedagang luar khususnya dari bangsa Tionghua untuk sama-sama menetap di sini dan tinggal di bawah naungan kesultanan Johor,” katanya.
Ahli Parlimen Pulai itu juga berkata, ekonomi Johor berkembang pesat hasil keharmonian hubungan dari pelbagai kaum di negeri itu.
“Inilah sebenarnya erti Bangsa Johor yang seringkali ramai terlepas pandang.
“Bangsa Johor yang lahir dari hasrat tuanku yang ingin melihat sebuah masyarakat yang bersepadu, progresif dan berlandaskan kemajuan, yang dijauhkan dari yang perilaku taksub lagi ekstremis serta tidak terperangkap dengan pemikiran sempit dan jumud.
“Politik yang memecahbelahkan perpaduan, yang berbaur perkauman dan berlandaskan sengketa, berani saya katakan tiada tempat di Pulai apatah lagi di negeri Johor itu sendiri,” tambahnya.
Kata-katanya itu timbul ketika negeri Johor kini menjadi tumpuan Pakatan Harapan yang berhasrat untuk menukar kubu kuat Umno itu menjadi kubu mereka.
Antara parti utama yang merangka peluang untuk menguasai kawasan majoriti Cina di Johor adalah DAP. Kawasan Pulai akan ditandingi Amanah.
Mengulas lanjut, Nur Jazlan menekankan demikian memandangkan kawasan Pulai “istimewa” kerana mencerminkan komposisi kaum negeri Johor.
“48 peratus penduduk Pulai terdiri dari orang-orang Melayu, 42 Peratus pula adalah orang Cina dan 10 peratus datang dari rakyat keturunan India,” katanya.
Beliau berucap di acara rumah terbuka sambutan Tahun Baru Cina peringkat Parlimen Pulai di Johor Baru hari ini, yang turut dihadiri Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar.
Acara berkenaan di Kompleks Tan Sri Mohamed Rahmat, yang dinamakan sempena nama allahyarham bapa Nur Jazlan.
Nur Jazlan mewarisi kawasan Pulai itu dari Mohamed, yang pernah mewakili kawasan parlimen itu untuk tempoh lama sejak 1969 ketika ia masih dikenali dengan nama Johor Bahru Barat. – 25 Februari, 2018.
Komen