Sistem kawalan vaksin China lulus penilaian WHO


Menurut Jabatan Pengawalan Produk Ubat-ubatan Negara (NMPA) penilaian komprehensif pusingan baharu itu dijalankan setelah WHO menaik taraf piawaian penilaian pada Julai lalu. – Gambar EPA, 24 Ogos, 2022.

PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia (WHO) pada Selasa memaklumkan bahawa sistem kawalan vaksin China sekali lagi mendapat kelulusan selepas kelulusan yang diterima pada 2011 dan 2014.  

Menurut Jabatan Pengawalan Produk Ubat-ubatan Negara (NMPA) penilaian komprehensif pusingan baharu itu dijalankan setelah WHO menaik taraf piawaian penilaian pada Julai lalu.

Untuk rekod, penilaian WHO terhadap sistem kawalan vaksin merupakan ujian peringkat antarabangsa yang boleh menilai taraf kawalan vaksin sesebuah negara secara saintifik dan komprehensif.

Justeru, syarikat dalam negara hanya akan dibenarkan memohon pensijilan peringkat awal produk vaksin WHO dan dimasukkan dalam senarai pembelian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sekiranya lulus dalam penilaian itu.

Penilaian itu menjadi rujukan penting bagi negara-negara untuk membeli produk vaksin.

Wakil WHO di China, Gauden Galea berkata penilaian pusingan baharu kali ini lebih ketat berbanding sebelum ini.

“Sistem kawalan vaksin China yang lulus dalam penilaian tersebut memperlihatkan sistem kawalan vaksin di China cukup stabil, serta turut dijangka boleh memastikan kualiti vaksin buatan China mampu dikawal, selamat dan berkesan,” katanya.

Naib Pengarah Jabatan NMPA, Huang Guo pula berkata sistem kawalan vaksin di China sentiasa dipergiat dan diperbaiki mengikut piawaian baharu WHO dan memenuhi standard antarabangsa sehingga mendapat kelulusan WHO. 

“China akan terus menyumbang dengan lebih banyak untuk terus mendorong vaksin yang mampu milik bagi seluruh dunia terutama negara-negara membangun,” tambahnya. – Bernama, 24 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen