MAHKAMAH Perlembagaan Thailand menggantung Perdana Menteri Prayut Chan-O-Cha daripada melakukan semua tugas rasminya buat sementara waktu bermula hari ini.
Keputusan itu dibuat selepas mahkamah bersetuju mendengar petisyen parti pembangkang bagi menyemak semula keabsahan Prayut yang sudah mencapai tempoh penggal lapan tahun sebagai perdana menteri.
Petisyen itu boleh menyebabkan beliau disingkirkan daripada tugas rasminya beberapa bulan sebelum pilihan raya umum diadakan.
Menurut kenyataan dikeluarkan Mahkamah Perlembagaan, hakim juga bersetuju untuk menggantung jawatan Prayut sebagai perdana menteri sehingga kes diputuskan.
“Mahkamah mempertimbangkan petisyen dan dokumen sokongan dan menganggap fakta mengikut permintaan menunjukkan alasan munasabah untuk mengesyaki terdapat kes seperti yang diminta,” menurut kenyataan itu.
“Oleh itu, undi majoriti (lima lawan empat) untuk (Prayut) digantung jawatan sebagai perdana menteri, berkuat kuasa 24 Ogos 2022, sehingga mahkamah mengeluarkan keputusan.”
Timbalan Perdana Menteri, Prawit Wongsuwan, dijangka memangku jawatan perdana menteri Thailand.
Ini bukan kali pertama Mahkamah Perlembagaan memainkan peranan dalam politik Thailand – ia pernah membatalkan keputusan pilihan raya umum pada 2006 dan 2014.
Perlembagaan kerajaan pada 2017 melarang perdana menteri daripada berkhidmat lebih lapan tahun malah menurut parti pembangkang Prayut sudah mencapai tempoh penggal pemerintahan selepas mengambil alih jawatan ketika rampasan kuasa pada 2014.
Beberapa ratus penunjuk perasaan antikerajaan berhimpun di Monumen Demokrasi Bangkok semalam sebelum keputusan mahkamah diumumkan.
Penyokong pemimpin berusia 68 tahun itu berpendapat tempoh pemerintahannya bermula apabila perlembagaan 2017 dimulakan, atau pun selepas pilihan raya umum 2019.
Jika mahkamah mengikut logik ini, Prayut secara teknikal boleh terus berkhidmat sehingga 2025 atau 2027 – jika beliau memenangi pilihan raya umum menjelang Mac tahun depan.– AFP, 24 Ogos, 2022.
Komen