PROSES pengadilan Najib Razak telah sampai ke pengakhirannya hari ini, setelah empat tahun proses mahkamah, sembilan hakim dan tiga tahap mahkamah.
Jelasnya mahkamah berjaya mempertahankan kewibawaan tanpa campur tangan politik melalui tiga zaman pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan, Pakatan Nasional dan Barisan Nasional hari ini.
Masyarakat tidak harus lupa bahawa dengan campur tangan politik, Najib sebagai perdana menteri ketika itu cuba menghalang proses keadilan daripada tertegak melalui institusi kerajaan seperti PDRM, SPRM, Suruhanjaya Siasatan Diraja, Pejabat Peguam Negara dan mengetepikan tiga ketua institusi utama negara iaitu ketua pesuruhjaya SPRM, gabenor Bank Negara dan peguam negara.
Hanya disebabkan perubahan politik yang berlaku pada Mei 2018, pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang dipimpin oleh Dr Mahathir Mohamad ketika itu, kita dapat lihat keputusan hari ini boleh berlaku.
Walaupun masih ada penyokong-penyokong tegar Najib dan Umno masih mahu menegakkan benang basah dan mengatakan proses mahkamah ini adalah pendakwaan politik terpilih.
Mahkamah berjaya menunjukkan dengan bukti demi bukti bahawa penyalahgunaan kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram telah berlaku.
Kes SRC Najib ini hanyalah satu daripada banyak lagi kes penyalahgunaan kuasa, rasuah dan pecah amanah yang belum dibongkar, disiasat dan diadili.
Keputusan hari ini juga membuktikan dengan jelas bahawa kepimpinan politik Melayu juga harus melakukan perubahan mendasar. Politik Melayu hari ini sudah seperti disinonimkan dengan politik rasuah, politik wang dan penyalahgunaan kuasa.
Sehingga hari ini pemimpin-pemimpin politik Umno masih cuba menegakkan pemimpin yang mereka yang korup dan menyalahgunakan kuasa.
Institusi pilihan raya juga cuba digunakan untuk mengelakkan proses kehakiman dapat berlaku dengan adil dengan mengetepikan kepentingan menjaga kebajikan rakyat dan kemaslahatan negara dengan mempercepatkan pilihan raya.
Mengubah politik Melayu
Ini dibuat demi mengembalikan kuasa politik mereka secara mutlak agar mungkin berlaku campur tangan dalam proses keadilan seperti sebelum ini.
Keputusan hari ini memberi justifikasi kenapa politik Melayu harus diubah secara menyeluruh dan membuktikan kepimpinan politik Melayu mampu menampilkan kepimpinan yang berwibawa yang mampu menguruskan dan memajukan negara dengan baik dan memberi keadilan kepada semua.
Inilah asas kepada penubuhan Gerakan Tanah Air (GTA) untuk memberi tawaran baharu kepada orang Melayu bahawa politik mampu dimurnikan dan kita masih punya kepimpinan politik berwibawa untuk ditawarkan.
Keputusan hari ini seharusnya menjadi peringatan kepada kita bahawa setiap undi yang membawa kepada perubahan politik itu sangat penting, dan tidak sia-sia.
Setiap undi berharga
Setiap undi itu adalah langkah kecil yang menghantar mereka yang menyeleweng dan menjarah harta rakyat ke penjara.
Keputusan mahkamah persekutuan hari ini harus menjadi peringatan untuk kita terus melakukan kerja-kerja pembetulan demi mengembalikan negara serta etika dan moral rakyatnya ke landasan yang betul.
GTA mengharapkan kejayaan keputusan pengadilan hari ini akan memberi harapan kepada rakyat untuk terus kuat berusaha memperbaiki Malaysia demi menjadi negara yang maju dan bermaruah. – 23 Ogos, 2022.
* Nizam Mahshar, Ketua Penerangan Gerakan Tanah Air (GTA).
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen