MAHKAMAH Persekutuan menolak rayuan akhir Najib Razak untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara ke atasnya bagi kesalahan penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.
Panel lima hakim berpuas hati bahawa sabitan ke atas kesemua tujuh tuduhan oleh Mahkamah Tinggi tidak memerlukan campur tangan Mahkamah Persekutuan.
Panel diketuai Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat memutuskan rayuan Najib ditolak sebulat suara dan mengesahkan sabitan salah serta hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta ke atas bekas perdana menteri itu.
Ia merujuk sabitan dan hukuman diputuskan pada 28 Julai 2020 oleh Mahkamah Tinggi yang mendapati Najib bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahguna kuasa dan pengubahan wang haram dana SRC International.
Tengku Maimun sewaktu membacakan penghakimannya antara lain menyebut perkara tidak konsisten dalam rayuan Najib yang dipertimbangkan Mahkamah Persekutuan.
Salah satu darinya, Najib mendakwa RM42 juta yang didakwa diperolehinya dari SRC di luar pengetahuan beliau, kata beliau.
Kemudian, perayu tersebut mendakwa beliau dianiaya dalam konspirasi oleh Low Taek Jho (Jho Low), Azlin Alias, Nik Faisal Ariff Kamil serta para pegawai bank.
Satu perkara lagi, perayu itu mendakwa wang yang dikreditkan dalam akaun AmBank itu merupakan derma dari Arab Saudi, kata Tengku Maimun.
Tambahnya, pihak pendakwaan sewaktu perbicaraan di Mahkamah Tinggi mendapati naratif berkenaan tidak konsisten dan bertentangan antara satu sama lain.
“Kami bersetuju bahawa pembelaan amat tidak konsisten dan tidak boleh dipercayai hinggakan apabila ia dipertimbangkan secara keseluruhan, tidak menimbulkan keraguan munasabah.”
Keputusan itu disampaikan selepas Mahkamah Persekutuan menolak usaha pembelaan untuk mendapatkan penangguhan lanjut dan juga permohonan agar Tengku Maimun menarik diri.
Empat lagi hakim terdiri dari Ketua Hakim Sabah dan Sarawak Abang Iskandar Abang Hashim serta tiga hakim Mahkamah Persekutuan – Nallini Pathmanathan, Mary Lim Thiam Suan dan Mohamad Zabidin Mohd Diah.
Najib masih berhadapan dengan empat perbicaraan lain melibatkan kesalahan rasuah, pecah amanah, pengubahan wang haram, dan meminda laporan akhir audit 1MDB. – 23 Ogos, 2022.
Komen