Di sebalik undang-undang antilompat parti


Haris Hauzah

BULAN lalu Dewan Rakyat sebulat suara meluluskan rang undang-undang (RUU) antilompat parti secara undi belah bahagi.

Sekumpulan 209 orang ahli parlimen yang hadir dan mengundi RUU antilompat parti itu percaya kononnya suatu sejarah politik negara telah tercipta. Sekumpulan 11 orang ahli parlimen yang ghaib gagal memunculkan diri pada sesi pengundian tersebut boleh jadi merasakan sebaliknya.

Semua mengetahui bahawa RUU antilompat parti yang diluluskan itu merupakan salah satu kandungan utama dalam memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani Pakatan Harapan bersama Ismail Sabri Yaakob yang sekarang memimpin kerajaan.

Namun apa yang kita semua belum tahu, apakah ia nanti berhasil untuk mengekang semua politikus jalang daripada bermain politik curang?

Kita sedar akan realiti tidak semua ahli parlimen itu kental dalam mempertahankan prinsip dan maruah. Oleh kerana itu ada ramai ahli Parlimen yang tidak malu berucap pada sidang media untuk memaklumkan bahawa mereka baru selesai menyundal. Hasil daripada penyundalan politik itu mereka mengumumkan keluar parti ini untuk menyertai dan menyokong pula parti itu.

Rakyat tahu akan segala jenis kekotoran hasil daripada persetubuhan haram politik yang berlaku di belakang keputusan politik jijik mereka itu. Namun sistem, undang-undang dan perlembagaan sendiri memberikan hak untuk mereka menentukan siapa yang mahu mereka angkat sebagai ketua kerajaan.

Hal ini boleh berlaku apabila ada ahli parlimen atau sejumlah ahli parlimen yang melakukan kerjasama secara partisan memiliki kelebihan jumlah kerusi di Parlimen. Tulisan ini tidak akan menyentuh hal dan hak yang mereka miliki.

Akan tetapi apa yang lebih menarik untuk diperbincangkan adalah tentang sikap ahli parlimen yang selamba membelakangkan keputusan rakyat sebagai pengundi.

Perangai celaka membontotkan mandat rakyat tanpa ada rasa bersalah atau bertanggungjawab sama sekali menyerlahkan imej ahli parlimen kita yang tidak malu hidup sebagai pemimpin tanpa moral, akhlak dan integriti.

Bolehlah kita katakan mereka manusia korup yang sudah rosak.

Justeru mendengar perbahasan selama dua hari oleh 54 orang ahli parlimen sememangnya ada rasa kembang tekak yang boleh buat kita mual nak muntah.

Ada rasa geli hati yang mengundang kelucuan apabila melihat mereka yang turut terlibat sebagai agen, broker, perancang dan dalang dalam aktiviti pelacuran politik dahulu, kini malah turut sama terpancut-pancut air liur bercakap tentang kekejian melompat.

Rasa loya dan mual itu makin menjadi-jadi tatkala melihat ada kalangan ahli parlimen kerajaan yang berhasil menubuhkan kerajaan melalui aktiviti melompat itu sendiri terlibat dalam menggubal rang undang-undang ini.

Justeru apa bolehkah muka-muka sama yang bakal bertanding pada Pilihan Raya ke-15 itu juga nanti dipercayai?

Sebetulnya hal melompat dan usaha-usaha mencegahnya pada peringkat parti sudah lama dibuat.

Sepertimana parti PAS, presidennya Abdul Hadi Awang sendiri berkata PAS menghadapi masalah itu semenjak tahun 1959 lagi. Malah kerajaan PAS di Kelantan dan Terengganu pernah diancam serta dijatuhkan kerana tindakan itu pada tahun 1960-an.

Bagi menangani masalah itu PAS memperkenalkan bai’ah iaitu sumpah atau suatu perjanjian untuk memberikan ketaatan. Seandainya ada mana-mana wakil rakyat PAS yang didapati melompat, mereka wajib melepaskan jawatan.

Pada awal tahun 2020, bendahari PKR pada waktu itu Lee Chean Chung pernah mengeluarkan amaran berbentuk saman terhadap 12 wakil rakyat mereka yang melompat.

Hal itu berdasarkan dokumen undang-undang yang ditandatangani oleh setiap wakil rakyat berkenaan sebelum diletak menjadi calon pada Pilihan Raya Umum ke-14.

Walau bagaimanapun keributan hal itu akhirnya terkubur dan lenyap ditelan zaman. Hingga ke hari ini tidak ada apa-apa tindakan yang boleh dianggap sebagai hukuman bagi mana-mana ahli parlimen yang melompat.

Ada banyak perkara yang harus dipertimbang dan dinilai. Memetik kata-kata Presiden PAS: “Kita kena sedar bahawa lompat parti ini ada sebab-sebab. Kalau sebab-sebab itu betul, kita tidak boleh tolak. Kalau sebab-sebab itu salah baru kita tolak.”

“Jika parti itu tidak betul, takkan dia nak ikut parti itu lagi termasuklah parti PAS pun. Kalau parti PAS ubah dasar dia, orang PAS tak boleh ikut. Dengan sebab itu kena adalah huraian-huraian dia, tak boleh buat mudah-mudah sahaja.”

Sememangnya ada perangai politik setan dalam kalangan sesetengah ahli parlimen yang telah kita menangkan.

Kita juga tahu selain PAS dan PKR, ada parti-parti lain yang cuba menangani permasalahan ini sejak sekian lama secara dalaman. Akan tetapi masalah ini tetap berlarutan malah mencipta lebih banyak komplot pengkhianatan untuk buat bermacam jenis ‘stunt’.

Justeru, realiti yang sebetulnya harus kita terima dan akui adalah kita memiliki sejumlah ahli-ahli parlimen yang korup dan terlalu rosak. Mereka tidak pernah segan menunjukkan sikap jahat mereka sebagai pemimpin yang enggan berpegang pada prinsip asas moral.

Mereka seakan percaya kekuasaan yang mereka ada tidak menuntut mereka untuk meletakkan ketinggian akhlak sebagai hal yang perlu diberikan keutamaan. Mereka semacam percaya kuasa yang digandingkan bersama integriti adalah kenaifan, dan kebodohan.

Oleh itu, mereka tidak malu meneruskan hidup sebagai pemimpin yang bermegah dengan kekuasaan. Mereka tahu segala faedah, kelebihan, keistimewaan, pendapatan dan pencen yang mereka dapat sudah cukup daripada apa yang mereka perlukan – sementara rakyat terus percaya dan terus-menerus diperbodohkan. – 23 Ogos, 2022.

* Haris Hauzah, pengamat filem dan Ahli Sidang Utama Komuniti Filem Titiwangsar (Komfit).

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen