Kerajaan pertimbang laksana subsidi lebih bersasar, kata timbalan menteri kewangan


Timbalan Menteri Kewangan 1 Mohd Shahar Abdullah berkata tahap inflasi di Malaysia kekal terkawal susulan pelaksanaan langkah kawalan harga dan pemberian subsidi oleh kerajaan. – Gambar Facebook, 23 Ogos, 2022.

KERAJAAN akan mempertimbangkan pelaksanaan mekanisme subsidi secara lebih bersasar supaya manfaatnya ditumpukan kepada golongan yang benar-benar memerlukan bantuan.

Timbalan Menteri Kewangan 1 Mohd Shahar Abdullah berkata inisiatif pembaharuan fiskal ini akan mengukuhkan kedudukan kewangan kerajaan di samping mewujudkan ruang fiskal.

“Inisiatif pembaharuan fiskal ini bertujuan mengukuhkan kedudukan kewangan kerajaan serta mewujudkan ruang fiskal dan fleksibiliti bagi melaksanakan langkah ‘counter-cyclical’ (kitaran balas) untuk terus menyokong ekonomi dan mengukuhkan daya tahan negara bagi berdepan dengan cabaran masa hadapan,” katanya di Putrajaya, pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis konsultasi Bajet 2023 di Kementerian Kewangan.

Dalam melangkah ke hadapan, kerajaan terus komited untuk memastikan kesejahteraan rakyat termasuk melindungi isi rumah daripada impak penuh kenaikan harga komoditi dan makanan global, katanya.

Beliau berkata susulan langkah kerajaan untuk meneruskan dan menambah baik subsidi, perbelanjaan untuk bantuan dan subsidi dianggarkan meningkat kepada RM77.7 bilion berbanding dengan peruntukan Bajet 2022 sebanyak RM31 bilion.

Mohd Shahar berkata tanpa subsidi yang disediakan untuk barangan asas, inflasi dianggarkan akan mencapai 11.4 peratus.

Tahap inflasi di Malaysia kekal terkawal susulan pelaksanaan langkah kawalan harga dan pemberian subsidi oleh kerajaan, katanya.

“Tahap inflasi negara bagi tempoh enam bulan pertama 2022 mencatatkan kadar 2.5 peratus dan kadar inflasi ini jauh lebih rendah daripada inflasi di negara lain terutama dalam kalangan negara maju seperti Amerika Syarikat dan United Kingdom yang mencecah sembilan peratus, sementara di negara-negara serantau seperti Thailand, Filipina dan Singapura mencecah lebih enam peratus,” katanya. – Bernama, 23 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen