Didakwa di mahkamah bukan penghalang aktivis pelajar teruskan protes


Ravin Palanisamy

Aktivis pelajar Aliff Naif Mohd Fizam (tengah) berkata gerakan pelajar kini menyertai kumpulan lebih besar, membawa suara dan tuntutan mereka kepada kerajaan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Ogos, 2022.

AKTIVIS pelajar Aliff Naif Mohd Fizam berkata beliau akan terus menganjurkan himpunan protes pada masa depan walaupun selepas didakwa atas tuduhan mengadakan protes jalanan di ibu kota bulan lalu.

Katanya, didakwa di mahkamah atas tuduhan menyertai protes kos sara hidup itu tidak menjadi penghalang kepadanya, malah ia motivasi untuk beliau meneruskan perjuangannya demi keadilan.

“Kami akan teruskan usaha hingga kerajaan dengar tuntutan kami. Kami tidak akan berundur,” katanya kepada The Malaysian Insight, sebulan selepas didakwa di mahkamah.

Aliff didakwa mengikut Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2021 di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur kerana gagal memaklumkan polis lima hari sebelum mengadakan protes jalanan bantahan terhadap kenaikan harga, pada 23 Julai.

Beliau yang juga presiden persatuan pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu dan dibenarkan ikat jamin RM3,000.

Mahkamah menetapkan 21 September untuk sebutan kes.

Kempen kutipan dana dilancarkan untuk membabit Aliff membayar ikat jamin.

Walaupun tidak mencapai sasaran, Aliff gembira dengan hasil sumbangan itu.

“Kami sasar RM3,000 tetapi dapat kumpul sekitar RM1,500.

“Bakinya diberikan kepada saya oleh beberapa NGO yang saya sertai,” katanya.

Suara Rakyat Malaysia (Suaram) dan Pemuda Pakatan Harapan mengutuk tindakan terhadap Aliff dan dua lagi ahli politik – Ketua Pemuda Amanah Hasbie Muda dan Ketua Pemuda PKR Batu Sabda Suluh Lestari Yahya – yang bersama-sama mengetuai tiga protes berasingan membantah kenaikan kos sara hidup.

Mereka berkata pendakwaan terhadap ketiga-tiga tertuduh adalah melanggar kebebasan hak asasi untuk mengadakan perhimpunan.

Menyertai gabungan lebih besar

Aliff berkata kumpulan pelajar kini menyertai Gerakan Tolak Kerajaan Gagal yang dikatakan akan mempunyai suara lebih besar dalam menonjolkan kegagalan kerajaan dipimpin Ismail Sabri Yaakob.

Dengan gerakan itu merancang mengadakan jelajah seluruh negara bagi menggariskan kegagalan pentadbiran Ismail Sabri, Aliff berkata ia bakal menjadi peluang terbaik untuknya menyertai mereka dan menyebarkan kesedaran kepada orang ramai.

“Kami menyertai Gerakan Tolak Gerakan Gagal yang dilancarkan minggu lalu.

“Inisiatif mereka ialah mengadakan jelajah seluruh negara, di mana ia mungkin termasuk himpunan, forum, perbincangan, berhubung dan ceramah politik. Jadi tuntutan kita akan termasuk dengan gerakan mereka.

“Kali ini, ia bukan hanya gerakan pelajar saja. Ia kumpulan yang lebih besar,” katanya.

Sabtu lalu, jurucakap sekretariat Gerakan Tolak Gerakan Gagal Syahmi Shamsudin yang sepatutnya mengadakan protes di Sogo, Kuala Lumpur terhadap kegagalan pentadbiran Ismail Sabri, memberitahu media mereka kini akan mengadakan jelajah seluruh negara untuk membantah isu dalam kerajaan sekarang. – 23 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen