Rakan, individu terakhir jumpa Zalina Azman


Bekas pembaca berita TV3, Zalina Shaharah Azman dilaporkan hilang sejak November tahun lalu. – Gambar Facebook, 22 Ogos, 2022.

SEORANG rakan kepada Zalina Shaharah Azman, yang dikenali sebagai Zalina Azman, dipercayai individu terakhir bertemu dengan bekas pembaca berita itu sebelum beliau dilaporkan hilang sehingga kini.

Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Mohd Iqbal Ibrahim berkata ia susulan keterangan diambil daripada individu berusia 30an itu pada 16 Ogos lepas.

“Berdasarkan keterangan yang diambil, individu tersebut bertemu dengan Zalina pada Julai 2021 dan ketika pertemuan tersebut, Zalina dalam keadaan sihat serta seperti biasa sahaja.

“Orang terakhir itu adalah rakan kepada Zalina sahaja dan bukan ahli keluarga atau pekerja binaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, hasil siasatan mendapati individu itu tidak mempunyai kaitan dengan kehilangan Zalina selain tiada perkembangan terbaru melibatkan kes itu sehingga kini.

Polis menerima laporan mengenai kehilangan Zalina, 58, daripada anak lelakinya Mikhael Norman, 33, pada 29 November tahun lepas yang cuba menghubunginya sejak 24 November bagi memaklumkan datuk pengadu dimasukkan ke hospital, namun wanita itu tidak dapat dihubungi.

Polis percaya Zalina masih berada di dalam negara susulan tiada pergerakan keluar membabitkannya yang dikesan pihak berkuasa setakat ini. – Bernama, 22 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen