LEBIH 100 pemimpin Umno berhimpun di ibu pejabat parti bagi pertemuan tergempar, sehari sebelum mahkamah memutuskan rayuan kes melibatkan bekas presidennya Najib Razak.
Beberapa pemimpin parti yang ditemui di perkarangan pejabat itu memberitahu, mereka menerima jemputan mesyuarat tergempar itu lewat malam tadi dan enggan menyatakan agendanya.
“Saya pun tidak tahu mesyuarat ini mengenai apa. Kami pun dapat jemputan lewat semalam,” kata Pengerusi Badan Perhubungan Umno Melaka Ab Rauf Yusoh
Jemputan pertemuan segera dan dinyatakan sebagai mustahak itu dibuat oleh Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan, pada kira-kira jam 11 malam tadi.
Menurut jemputan itu, ia dibuat atas permintaan presiden dan timbalan presiden parti kepada ketua-ketua Umno bahagian.
Antara yang dilihat hadi setakat jam 12.30 tengah hari ini presiden parti Ahmad Zahid Hamidi, timbalannya Mohamad Hasan dan Najib Razak yang juga ketua Umno Pekan.
Najib pada malam tadi mengangkat sumpah di sebuah masjid di Kuala Lumpur bagi menafikan beliau mengetahui dana RM42 juta juta yang diterimanya dari SRC International.
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob yang juga naib presiden Umno pula tampil dalam satu upacara berbeza bagi meraikan ulang tahun pertama beliau mengetuai pentadbiran negara. – 22 Ogos, 2022.
Komen