PRESIDEN Perancis Emmanuel Macron akan melawat bekas jajahan Algeria minggu depan dalam usaha untuk memperbaiki hubungan yang tegang antara Paris dan Algiers, kata pejabat presiden Perancis pada Sabtu.
Hubungan Perancis-Algeria renggang hujung tahun lalu selepas Macron dilaporkan mempersoalkan sama ada Algeria telah wujud sebagai sebuah negara sebelum pencerobohan Perancis selain mendakwa “sistem politik-tentera” negara itu mengolah semula sejarah dan mencetuskan “kebencian terhadap Perancis”.
Algeria menarik balik dutanya sebagai tindak balas, namun kedua-dua pihak telah membaiki hubungan sejak itu.
“Lawatan ini akan menyumbang kepada usaha memperdalam hubungan dua hala… bagi mengukuhkan kerjasama Franco-Algeria dalam menghadapi cabaran serantau dan meneruskan kerja menangani masa lampau,” kata pejabat presiden dalam satu kenyataan selepas panggilan antara Macron dan rakan sejawatnya Presiden Algeria Abdelmadjid Tebboune.
Macron akan melawat Algeria dari Khamis hingga Sabtu minggu depan.
Negara Afrika Utara itu memperoleh kemerdekaannya daripada Perancis berikutan perang lapan tahun, yang berakhir dengan pemeteraian Perjanjian Evian pada Mac 1962.
Pada 5 Julai tahun sama, beberapa hari selepas 99.72 peratus mengundi untuk kemerdekaan dalam satu referendum, Algeria akhirnya membebaskan diri daripada Perancis. – AFP, 21 Ogos, 2022.
Komen