Junta Myanmar sedia runding dengan Suu Kyi


Ketua tentera Myanmar Jeneral Min Aung Hlaing dalam kenyataan semalam berkata rundingan akan dibuat selepas perbicaraan Aung San Suu Kyi berakhir. – Gambar AFP, 20 Ogos, 2022.

JUNTA Myanmar sedia untuk berunding dengan dengan Aung San Suu Kyi selepas perbicaraan pemimpin yang digulingkan itu berakhir bagi menamatkan krisis di negara itu sejak rampasan kuasa tahun lalu, kata ketuanya semalam.

“Selepas proses berdasarkan undang-undang terhadapnya selesai, kami akan pertimbang rundingan berdasarkan reaksinya,” kata Jeneral Min Aung Hlaing dalam satu kenyataan.

Hlaing menegaskan perbicaraan yang dihadapi Suu Kyi dijalankan mengikut undang-undang.

Suu Kyi, 77, ditahan kerajaan pimpinannya digulingkan tentera melalui rampasan kuasa pada 1 Februari tahun lalu, sekali gus menamatkan tempoh pemerintahan demokrasi singkat negara itu.

Beliau setakat ini telah dijatuhi hukuman penjara 17 tahun atas pelbagai dakwaan, yang menurut kumpulan hak asasi bermotifkan politik.

Pemimpin Parti Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD) itu juga berdepan berdekad-dekad lagi hukuman penjara jika disabit bersalah atas beberapa tuduhan lain yang dikemukakan di mahkamah tertutup junta. 

Antara tuduhan yang dikenakan ke atas Suu Kyi termasuk tujuh pertuduhan rasuah, kesalahan melanggar undang-undang pilihan raya dan  melanggar akta rahsia rasmi era penjajah.

Sepanjang tempoh perbicaraan Suu Kyi wartawan dilarang mengikuti prosiding mahkamah, dan peguamnya tidak dibenarkan bercakap dengan media. Malah junta tidak memberikan petunjuk bila perbicaraannya akan selesai. – AFP, 20 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen