DAP masih sukar tarik sokongan pengundi Dayak


Desmond Davidson

Persepsi DAP 'parti komunis' atau hanya untuk Cina sudah sebati dalam masyarakat Dayak, kata bekas pengerusi Majlis Perundingan Dayak John Brian Anthony. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Ogos, 2022.

MAJLIS Perundingan Dayak (DCC) yang ditubuhkan DAP 11 tahun lalu gagal mencapai matlamatnya untuk menarik sokongan masyarakat Dayak di Sarawak, kata bekas pengerusinya.

Selepas lebih sedekad, DCC masih sukar untuk menambat hati kumpulan etnik terbesar itu, kata John Brian Anthony kepada The Malaysian Insight.

“Bagi orang Dayak, DAP adalah ‘parti komunis’ atau hanya untuk Cina.

“Cukup sukar untuk memenangi hati mereka kerana persepsi ini sudah sebati dalam masyarakat Dayak,” ujarnya.

Menurut Brian, setakat ini DCC hanya berjaya menarik minat golongan profesional dan ahli akademik Dayak untuk menyokong atau menyertai DAP.

DAP bertanding di 11 kerusi majoriti Dayak pada pilihan raya negeri Disember tahun lepas tetapi tiada satu pun dimenangi parti itu.

Selepas dilantik untuk menganggotai Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP dan mengetuai DCC pada 2013, Brian menarik dua ahli profesional Dayak yang bertugas di semenanjung – Duwen Babat (Petaling Jaya) dan Seliong Wau (Kuala Lumpur) – untuk menyertai DCC.

Ini diikuti doktor gigi di Miri, Dr Bob Baru; peguam di Sri Aman, Peli Aron; dan bekas kakitangan Sarawak Shell Bhd Edward Andrew Luwak.

Babat, Wau, Aron dan Luwak menarik diri daripada DCC selepas Brian keluar DAP untuk menyertai Parti Bansa Dayak Sarawak Baru (PBDSB).

Aron dan Luwak kemudian menyertai Parti Bumi Kenyalang (PBK).

“DCC gagal mencapai objektif mereka untuk menembusi akar umbi Dayak.

“Kami telah cuba yang terbaik tetapi sukar untuk tambat hati pengundi,” kata Brian. – 20 Ogos, 2022.     

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen