Peguam gugat badan kehakiman boleh kena tindakan, kata Majlis Peguam


Presiden Majlis Peguam Karen Cheah berkata Malaysia kini menyaksikan sistem keadilan disalah guna dan dicemarkan melalui tindakan terburu-buru serta pelbagai percubaan untuk menangguhkan perbicaraan rayuan kes itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Ogos, 2022.

MAJLIS Peguam Malaysia hari ini membidas retorik dan sentimen antikehakiman terhadap badan kehakiman serta ketua hakim negara yang timbul susulan rayuan terakhir Najib Razak dalam kes SRC International.

Presidennya Karen Cheah turut memberi amaran peguam yang terlibat menggugat badan kehakiman akan dikenakan tindakan.

“Pelbagai percubaan untuk melemahkan sistem keadilan melalui strategi tidak bertanggungjawab itu adalah penyelewengan sistem keadilan kita dan penyalahgunaan proses mahkamah.

“Peguam bela dan peguam cara yang terlibat dalam perbuatan sedemikian telah berkelakuan secara tidak profesional dan boleh dikenakan tindakan tatatertib,” katanya dalam satu kenyataan.

Cheah berkata Majlis Peguam berharap semua peguam patuh dan kekalkan standard profesional tertinggi dalam menegakkan maruah kerjaya guaman.

“Majlis Peguam Malaysia terkejut dengan pelbagai perkembangan yang berlaku berhubung kes melibatkan Najib,” katanya.

Cheah berkata negara menyaksikan sistem keadilan disalah guna dan dicemarkan melalui tindakan terburu-buru serta pelbagai percubaan untuk menangguhkan perbicaraan rayuan kes itu.

“Permohonan untuk tidak mahu mewakili bekas perdana menteri, enggan teruskan hujah rayuan selepas Mahkamah Persekutuan buat keputusan, dan melepaskan peguam secara tiba-tiba.

“Orang ramai perlu dimaklumkan tahap profesionalisme yang diharapkan daripada peguam bela dan peguam cara diukur berdasarkan peraturan sedia ada tentang amalan dan etika.”

Beliau berkata bahawa Majlis Peguam Malaysia mengambil pendirian apabila peguam baharu mengambil alih sesuatu kes, peguam itu wajib mematuhi Kaedah Profesion Undang-Undang (Praktis dan Etika) 1978 (LPPER).

Katanya LPPER menyatakan bahawa seorang peguam bela dan peguam cara tidak boleh menerima sebarang taklimat melainkan beliau sudah pasti boleh hadir dan mewakili anak guam pada tarikh perbicaraan yang ditetapkan oleh mahkamah.

“Peguam baharu itu juga perlu patuh LPPER yang memperuntukkan bahawa peguam bela dan peguam cara hendaklah berusaha sedaya upaya untuk bersedia dengan perbicaraan pada hari yang ditetapkan.

“Kedua-dua peraturan jelas menunjukkan seorang peguam mesti waras fikirannya dan menilai bahawa beliau mampu meneruskan kes itu sebelum memutuskan sama ada beliau boleh mengambil kes itu.

“Kewajipan utama kepada mahkamah, menghormati pentadbiran keadilan, dan menegakkan maruah profesion undang-undang, tertanam dan harus berakar umbi dalam semua peguam.”

Tambahnya, walaupun Najib berhak melantik peguam baharu untuk mengambil alih kes atas apa jua sebab, beliau juga mengambil risiko menghadapi kemungkinan mahkamah tidak semestinya membenarkan sebarang permohonan penangguhan.

“Ini kerana peguam yang mengambil alih kes mesti berada dalam kedudukan untuk meneruskan mana-mana tarikh terdahulu yang telah ditetapkan oleh mahkamah.

“Anak guam yang melepaskan peguamnya atau peguam yang ingin dilepaskan daripada mewakili anak guam mereka, masih tertakluk kepada kawalan dan budi bicara keseluruhan mahkamah sama ada membenarkan pelepasan tersebut. Ringkasnya, ia bukan hak automatik.”

Tambah Cheah Najib secara tiba-tiba melepaskan pasukan peguamnya sekali lagi hari ini, menjadikannya kali kedua beliau menggunakan taktik sedemikian.

“Keputusan untuk menukar peguam pada saat akhir adalah haknya. Oleh itu, apa-apa ketidakadilan yang dikatakan beliau sendiri, jika ada, pastinya dilakukannya sendiri.”

Beliau berkata jangkaan beliau terhadap perbicaraan yang adil, yang telah diberikan sepenuhnya juga bermakna beliau meletakkan dirinya dalam sistem kehakiman tanpa sebarang muslihat licik terutamanya jika beliau benar-benar menghargai hak kebebasannya.

“Apa yang nyata ialah tiada alasan yang kukuh diberikan untuk pelepasan itu buat kali kedua, sama ada hampir dengan tarikh perbicaraan atau semasa perbicaraan di Mahkamah Persekutuan.

“Tarikh perbicaraan sedemikian bukan sahaja ditetapkan lebih awal, tetapi dihebahkan kepada umum. Sebarang percubaan untuk menukar naratif sebagai penganiayaan adalah sangat tidak elok.”

Pagi tadi, ketua peguam bela Hisyam Teh Poh Teik memaklumkan panel lima hakim yang Najib telah menghentikan khidmat firma Zaid Ibrahim Suflan TH Liew & Partners.

Zaid Ibrahim, Liew Teck Huat dan Rueben Mathiavarnam, yang merupakan sebahagian daripada pasukan peguam Najib, tidak berada di mahkamah pagi tadi.

Hisyam juga tidak mengambil bahagian dalam hujahan itu selepas permohonannya untuk menarik diri daripada mewakili Najib ditolak oleh mahkamah. – 19 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen