Pulau Pinang mohon Mahkamah Tinggi segera bicara 4 Adun


KERAJAAN Pulau Pinang telah memohon kepada mahkamah untuk segera menetapkan tarikh bicara empat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pada 2020.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata kes tersebut telah dirujuk kepada Mahkamah Tinggi Pulau Pinang untuk diputuskan dan sebarang keputusan mahkamah akan menjadi sebahagian daripada proses mengisytiharkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) terbabit sebagai kosong.

“Ia mengikut mana-mana yang berkenaan dengan berpandukan keputusan sebulat suara Mahkamah Persekutuan, Perkara 14A Perlembagaan Negeri Pulau Pinang adalah sah, berperlembagaan dan hendaklah kekal seperti sedia ada.

“Oleh demikian, kita memohon mahkamah untuk menetapkan tarikh bicara dengan segera. Kita pun nak tahu apa keputusan mahkamah berhubung isu ini selepas keputusan telah dibuat oleh Mahkamah Persekutuan, jadi sebarang mesyuarat khas (DUN Pulau Pinang) atau sebagainya kena tunggu keputusan mahkamah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Penang Signature Gold & Jewellery Fairs (PSC) 2020 di Pusat Konvensyen Setia Spice di George Town hari ini.

Chow berkata demikian ketika diminta mengulas saranan Pengerusi DAP Lim Guan Eng yang mahu DUN Pulau Pinang mengadakan mesyuarat khas seawal mungkin selepas September, untuk meminda dan menyelaraskan Perlembagaan Negeri dengan Perlembagaan Persekutuan, selepas perkenan diraja dan pewartaan pindaan perlembagaan yang melarang ahli Parlimen melompat parti.

Empat Adun tersebut ialah Zulkifli Ibrahim (Sungai Acheh), Afif Bahardin (Seberang Jaya), Khaliq Mehtab Mohd Ishaq (Bertam) dan Zolkifly Md Lazim (Telok Bahang) yang telah memfailkan writ saman terhadap DUN Pulau Pinang dan Speakernya bagi mencabar usul yang dibentang pada Oktober 2020 agar mereka mengosongkan kerusi masing-masing dan pilihan raya kecil diadakan.

Perkara 14A Perlembagaan Negeri Pulau Pinang menyatakan bahawa seseorang Adun hendaklah mengosongkan kerusinya jika telah dipilih sebagai calon parti politik, beliau perlu meletak jawatan atau dipecat daripada parti atau telah dipilih selain sebagai calon parti politik, menyertai parti politik lain. – Bernama, 19 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen