China, Afrika jalin kerjasama lebih mantap


Menteri Luar China Wang Yi berkata projek-projek berkenaan telah dilaksanakan dengan baik dan membawa manfaat besar kepada rakyat Afrika.– Gambar EPA, 19 Ogos, 2022.

MENTERI Luar China, Wang Yi mempengerusikan mesyuarat penyelaras mengenai pelaksanaan hasil Persidangan Menteri-Menteri Forum Kerjasama China-Afrika (FOCAC) kelapan secara maya di Beijing, pada Khamis.

Pada persidangan FOCAC kelapan di Dakar pada November lalu, Presiden China, Xi Jinping mengumumkan sembilan projek utama untuk meningkatkan kerjasama dengan negara-negara di benua Afrika.

Wang berkata projek-projek berkenaan telah dilaksanakan dengan baik dan membawa manfaat besar kepada rakyat Afrika.

“Berada di titik permulaan baharu dalam sejarah, China dan Afrika harus memperkukuh solidariti dan berganding bahu ke arah membentuk komuniti berkongsi nasib pada era baharu,” katanya. 

Wang turut mengemukakan beberapa cadangan untuk memantapkan lagi hubungan China-Afrika antaranya termasuk memperkukuh perpaduan dan saling membantu, berusaha mewujudkan pembangunan bersama, kekal berdikari dan bermandiri, serta bergabung tenaga menggalakkan keamanan serantau.

Beliau turut mengesyorkan keterbukaan dan situasi sama menang dijunjung, di samping memastikan pembangunan sihat kerjasama antarabangsa dengan Afrika.

Mesyuarat itu dihadiri Menteri Luar Senegal, Aissata Tall Sall dan wakil dari pelbagai subrantau Afrika, Suruhanjaya Kesatuan Afrika serta diplomat negara-negara Afrika di China. – Bernama, 19 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen