Aktres Bollywood Sridevi meninggal dunia


Pemergian mengejut aktres Sridevi Kapoor pada usia pertengahan 50-an itu turut diratapi oleh semua peminat dan barisan pelakon Bollywood yang lain. – Gambar AFP, 25 Februari, 2018.

PELAKON hebat Bollywood, aktres Sridevi Kapoor meninggal dunia akibat serangan jantung, malam tadi.

Beliau meninggal dunia ketika menghadiri majlis perkahwinan anak saudaranya di Dubai.

Pemergian mengejut aktres berusia pertengahan 50-an itu turut diratapi oleh semua peminat dan barisan pelakon Bollywood yang lain.

“Saya kehilangan kata-kata. Takziah untuk semua yang menyayanginya. Hari yang menyedihkan. RIP,” kata aktres Priyanka Chopra menerusi akaun Twitternya.

Sridevi atau nama sebenarnya Shree Amma Yanger Ayappan memulakan karier dalam bidang lakonan seawal usia empat tahun dan terus bertahan empat dekad selepas itu.

Sepanjang hayatnya, mendiang membintangi pelbagai filem pecah panggung termasuk Chandni, Mr India, Mawali, Tohfa dan Nagina.

Beliau dikurniakan anugerah Padma Shri, iaitu anugerah keempat tertinggi khusus untuk orang awam, hasil sumbangannya dalam industri perfileman India. – AFP, 25 Februari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen