Kehidupan, kebebasan dan hak saya kini terancam, kata Najib


Noel Achariam

Najib Razak berkata beliau kini berdepan dengan realiti untuk tidak dapat pertahankan diri, namun menekankan yang pembelaannya masih kukuh dan meyakinkan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 18 Ogos, 2022.

NAJIB Razak mendakwa beliau kini ditinggalkan tanpa peguam bela selepas Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Hisyam Teh Poh Teik untuk menangguhkan rayuan dalam kes SRC International Sdn Bhd.

Bekas perdana menteri itu berkata pasukan peguam baharunya telah menyatakan mereka tidak mahu teruskan proses rayuan kerana tidak cukup masa untuk buat persediaan.

Hisyam pagi tadi berkata jika mahkamah enggan, beliau tiada pilihan selain menarik diri daripada mewakili Najib.

“Saya berdepan dengan realiti yang saya mungkin tidak akan ada peguam bela lagi. Paling menyedihkan saya tidak dapat bentang pembelaan saya, namun saya percaya pembelaan saya kukuh dan meyakinkan.

“Saya ingin rakamkan bantahan sekeras-kerasnya dalam prosiding rayuan hari ini di mana hak, kehidupan dan kebebasan serta hak untuk perbicaraan yang adil dipertaruhkan,” kata Najib kepada pemberita selepas prosiding hari ini.

Katanya, berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan menolak permohonan penangguhan peguamnya itu, pembelaannya tidak dapat dikemukakan di mahkamah hari ini dan hanya pihak pendakwaan sahaja yang boleh kemuka hujah mereka.

Mahkamah Persekutuan masih melihat Hisyam sebagai peguam bela Najib, namun beliau memilih untuk tidak berhujah dalam kes itu.

Najib berkata tidak pernah berlaku dalam kes berprofil tinggi sebelum ini pihak pembelaan dibiarkan tanpa peguam bela.

Tambahnya peguamnya sudah nyatakan tidak mahu teruskan kerana mereka tidak cukup masa untuk buat persediaan.

“Malangnya mahkamah tidak benarkan, termasuk pasukan peguam cara saya juga.”

“Ini perkara yang sangat serius dan saya harap mahkamah akan ambil kira dan buat langkah pembaikan.”

Najib berkata apabila pasukan baharu muncul dalam kes kompleks seperti ini, terdapat banyak dokumen yang perlu diproses dan difahami untuk digunakan dalam rayuannya.

“Saya percaya terdapat 200 jilid dokumen yang perlu difahami dan diproses.

“Mengingat semua kesulitan ini, Hisyam meminta masa yang munasabah dan sepasukan peguam bersiap sedia dalam kes kompleks berprofil tinggi.

“Hisyam, diberi masa yang munasabah, beliau akan bela saya. Namun saya berdoa dan saya berharap untuk perbicaraan yang adil dan keadilan dapat ditegakkan.”

Bagi pihaknya, Hisyam berkata, beliau tidak mahu mempertikaikan kes itu selepas Mahkamah Persekutuan menolak permohonannya menangguhkan rayuan sehingga tiga empat bulan agar beliau cukup masa meneliti dokumen berkait kes berkenaan.

Ketika mahkamah bersidang pagi tadi, Hisyam sekali lagi merayu kepada panel lima hakim untuk membenarkan penangguhan. Katanya, jika mahkamah enggan, beliau tiada pilihan selain menarik diri daripada mewakili Najib.

Justeru, Hisyam berkata dengan keadaan sedemikian, pasukannya tidak dapat pertahankan Najib dengan berkesan.

“Saya mohon untuk tarik diri saya sebagai peguam utama tetapi mahkamah tolak permohonan saya.

“Saya tidak dapat melihat cara yang lebih bermakna untuk saya dapat laksanakan rayuan.

“Sebab kami sama sekali tidak bersedia untuk berhujah kes ini. Kami tidak boleh mewakili Najib dengan bagus.”

Beliau berkata jika diberi masa yang munasabah beliau akan dapat menentang pihak pendakwaan.

“Inilah perbicaraan yang adil. Tetapi kami dinafikan, jadi dalam keadaan saya tidak dapat bentangkan hujah.

“Jadi pada dasarnya Najib tidak dapat representasi undang-undang. Itu asasnya.” – 18 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen