Dr Mahathir bingung Najib dapat 'layanan diraja' walau dibuktikan bersalah


Ravin Palanisamy

BEKAS perdana menteri Dr Mahathir Mohamad sekali lagi menyelar Najib Razak sebagai banduan yang bebas kerana sistem kehakiman Malaysia.

Pengerusi Pejuang itu berkata rakyat Malaysia telah menjadi bahan ketawa dunia kerana memberikan “layanan diraja” kepada banduan.

“Walaupun selepas empat tahun dia (Najib) didakwa di mahkamah, dia masih bebas,” kata ahli Parlimen Langkawi itu pada sidang media selepas mesyuarat presiden Gerakan Tanah Air yang baru ditubuhkan di Putrajaya hari ini.

“Dunia ketawa melihat banduan dapat layanan yang tinggi.

“Satu dunia tahu (Najib bersalah). Amerika Syarikat dapati dia bersalah tetapi di Malaysia dia berpakaian kemas, pergi ke Parlimen dan beritahu kerajaan apa perlu buat, bagaimana untuk buat dan ‘bagaimana untuk curi duit’.

“Inilah (Najib) penasihat kepada kerajaan,” tambah Dr Mahathir.

Najib disabitkan bersalah atas semua tujuh pertuduhan jenayah kerana menyeleweng dana RM42 juta daripada SRC International pada 28 Julai 2020.

Hakim Mahkamah Tinggi ketika itu yang kini Hakim Mahkamah Rayuan Mohd Nazlan Mohd Ghazali menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta kepada Najib.

Bagaimanapun ahli Parlimen Pekan itu menegaskan beliau tidak bersalah dan telah diikat jamin sementara menunggu rayuannya.

Sambil membandingkan sistem kehakiman Malaysia dengan sistem lain, Dr Mahathir berkata Najib bernasib baik masih bebas kerana negara mengikut sistem British.

“Kalau di Perancis, sebelum dia hadap ke mahkamah, seseorang itu dianggap salah dan kita perlu tunjuk kita tidak salah. Sistem mengatakan anda bersalah sehingga terbukti tidak bersalah.

“Sistem British ini (yang kita guna pakai di Malaysia), mengatakan anda tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah.

“Di negara lain, walaupun buat rayuan sleepas terbukti bersalah, masih kena masuk penjara. Tunggu sampai mahkamah rayuan kata anda tidak bersalah.

“Tetapi di Malaysia ini, bila dia rayu sahaja, seolah-olah berkata bahawa dia tak salah,” kata Dr Mahathir.

Di sebalik taktik Najib untuk menangguhkan prosidingnya di Mahkamah Persekutuan, Dr Mahathir berkata beliau meletakkan kepercayaannya kepada mahkamah Malaysia.

“Apa yang beliau mahu buat ialah tangguh segala-galanya supaya semasa pilihan raya, dia masih tidak bersalah dan masih merayu.

“Terpulang kepada mahkamah untuk buat keputusan. Kami letakkan kepercayaan kami kepada mahkamah Malaysia,” katanya. – 18 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen