Gencatan senjata 30 hari di Syria diluluskan


Jenazah mangsa serangan yang berlaku di Ghouta, berhampiran ibu kota Damascus, di Syria, yang belum dikebumikan. Sekurang-kurangnya 127 kanak-kanak maut dalam serangan itu. Gambar AFP, 25 Februari, 2018.

MAJLIS Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (UNSC) meluluskan gencatan senjata selama 30 hari di Syria, susulan serangan udara terbaru di Timur Ghouta yang meragut lebih 500 nyawa orang awam.

Keputusan itu yang mendapat sokongan Rusia dilaksanakan serta merta bagi membolehkan misi bantuan kemanusiaan dan perubatan disalurkan pada kadar segera.

Pemantau Hak Asasi Manusia Syria berkata pesawat perang milik pasukan Syria yang dibantu Rusia melancarkan serangan di Timur Ghouta sejurus selepas sesi pengundian oleh UNSC.

Ahad lalu, serangan di luar Damsyik oleh rejim Bashar Al-Assad mengorbankan sekurang-kurangnya 127 kanak-kanak manakala dalam serangan terbaru semalam, 41 orang awam disahkan maut.

Rusia menafikan sebarang pembabitan dalam serangan itu.

Undian oleh UNSC itu pada awalnya dijadualkan diadakan pada Khamis namun ditangguhkan beberapa kali kerana gagal mencapai kata sepakat dalam usaha mengelakkan penggunaan kuasa veto oleh Rusia yang menyokong rejim Bashar.

Duta Besar Amerika Syarikat Nikki Haley berkata penderitaan penduduk Syria semakin bertambah setiap kali rundingan berkenaan ditangguhkan.

“Selagi tiada kata sepakat dicapai, bom dari jet pejuang Assad akan terus membunuh ratusan nyawa tidak berdosa.

“Sepanjang tempoh tiga hari majlis ini bersidang, berapa ramai ibu yang terpaksa kehilangan anak masing-masing,” katanya. – AFP, 25 Februari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen