China sumbat aktivis dalam hospital sakit jiwa, dedah laporan


Kebanyakan mangsa yang disumbat dalam hospital psikiatrik adalah pengkritik, pempetisyen, dan orang yang sering bergelut di tangga sosial paling bawah di China dan dengan itu tidak berkuasa dan mudah menjadi sasaran. – Gambar EPA, 17 Ogos, 2022.

REPUBLIK komunis China menggunakan hospital sakit jiwa sebagai alat untuk menghukum aktivis tanpa melalui proses perundangan, dakwa kumpulan hak asasi manusia yang turut menuduh doktor dan sistem penjagaan kesihatan bersubahat dengan pihak berkuasa.

Pihak berkuasa Beijing sejak beberapa dekad menggunakan sistem hospital psikiatri negara, yang dikenali sebagai Ankang, untuk menghukum tahanan politik.

Laporan yang dikeluarkan pada Selasa oleh NGO Safeguard Defenders yang berpangkalan di Madrid berkata amalan itu berterusan, walaupun terdapat pembaharuan pada awal 2010-an yang memerlukan persetujuan perubatan dan meningkatkan pengawasan kehakiman ke atas sistem penjagaan psikiatri China.

Majoriti data dalam laporan itu hasil daripada temu bual dengan mangsa dan keluarga mereka yang disiarkan dalam talian oleh NGO China Civil Rights and Livelihood Watch (CRLW), sebuah organisasi yang diasaskan oleh aktivis dan wartawan Liu Feiyue.

Data itu melihat 99 kes orang China yang terpaksa dimasukkan ke hospital psikiatri atas sebab politik antara 2015 dan 2021.

“Pada 2022, Parti Komunis China (PKC) masih secara rutin memasukkan sasaran politik mereka di hospital sakit jiwa walaupun telah melaksanakan perubahan undang-undang bagi menghentikan amalan biadab ini lebih sedekad lalu,” kata kumpulan itu.

“Doktor dan hospital bersekongkol dengan PKC untuk menyebabkan mangsa dimasukkan ke hospital tanpa kerelaan secara perubatan dan paksa.”

Kebanyakan mangsa adalah pempetisyen, katanya, “orang yang sering bergelut di tangga sosial paling bawah di China dan dengan itu tidak berkuasa dan mudah menjadi sasaran.”

“Angka sedemikian menunjukkan bahawa menghantar tahanan politik ke wad psikiatri adalah meluas dan rutin di China.”

Tahanan sering didera secara fizikal dan mental, kata laporan itu, memetik dakwaan banduan yang mereka telah dipukul, terapi kejutan elektrik dan dikurung seorang diri.

Antara mereka yang ditahan ialah seorang gadis muda yang telah menyimbah cat secara langsung pada potret Presiden China Xi Jinping, seorang lelaki yang telah memohon Beijing untuk pampasan perubatan untuk kecederaan yang dialami berkhidmat dalam tentera dan aktivis pro-demokrasi lama Song Zaimin, tambah laporan tersebut.

Kementerian kesihatan Beijing tidak menjawab permintaan untuk mendapatkan komen daripada AFP.

Selain itu, kumpulan hak asasi manusia berkata sekurang-kurangnya sejuta orang, kebanyakannya minoriti Islam, telah dipenjarakan di “kem pendidikan semula” di wilayah Xinjiang barat dan menghadapi penderaan yang meluas, termasuk pensterilan paksa dan kerja paksa.

China berkata ia menjalankan pusat latihan vokasional di rantau tersebut yang dibangunkan untuk menentang ekstremisme. – AFP, 17 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen