Lebih 150 kanak-kanak maut di Zimbabwe akibat wabak campak


Virus campak menyerang terutamanya kanak-kanak dengan komplikasi paling serius termasuk buta, bengkak otak, cirit-birit dan jangkitan pernafasan yang teruk. – Gambar EPA, 17 Ogos, 2022.

WABAK campak di Zimbabwe meragut sekurang-kurangnya nyawa 157 kanak-kanak, dengan lebih 2,000 jangkitan dilaporkan di seluruh negara, kata kerajaan semalam.

Kes meningkat pantas di negara Afrika selatan sejak pihak berkuasa berkata jangkitan pertama direkodkan awal bulan ini, dengan kematian dilaporkan hampir dua kali ganda dalam masa kurang seminggu.

“Sehingga 15 Ogos angka terkumpul di seluruh negara meningkat kepada 2,056 kes dan 157 kematian,” kata Menteri Penerangan Monica Mutsvangwa memberi taklimat kepada wartawan selepas mesyuarat kabinet mingguan.

Mutsvangwa berkata kerajaan akan mempertingkatkan usaha vaksinasi, dan menggunakan undang-undang khas yang membenarkannya mendapatkan wang daripada dana bencana nasional “untuk menangani kecemasan.”

Beliau berkata kerajaan akan bekerjasama dengan pemimpin adat dan agama untuk mendapatkan sokongan mereka dengan kempen vaksinasi, sambil menambah semua mangsa tidak diberi vaksin.

Kementerian kesihatan sebelum ini mengatakan wabak berpunca daripada perhimpunan di gereja.

Virus campak menyerang terutamanya kanak-kanak dengan komplikasi paling serius termasuk buta, bengkak otak, cirit-birit dan jangkitan pernafasan yang teruk.

Gejalanya ialah ruam merah yang mula-mula muncul di muka dan merebak ke seluruh badan. Dahulu ia sangat biasa dan kini boleh dicegah dengan vaksin.

Pada April, Pertubuhan Kesihatan Sedunia berkata Afrika sedang menghadapi ledakan penyakit yang boleh dicegah kerana kelewatan dalam memberi vaksin kepada kanak-kanak, dengan kes campak melonjak sebanyak 400%. – AFP, 17 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen