Parti hari jadi ‘rahsia’ Mugabe yang ke 94


Gambar yang diambil tahun lepas ketika Mugabe menyambut hari jadinya yang ke-93. Tahun ini parti hari jadinya diadakan secara rahsia setelah Mugabe digulingkan tiga bulan lalu. – Gambar AFP, 24 Februari, 2018.

BEKAS presiden Zimbabwe Robert Mugabe menyambut hari jadinya yang ke-94 pada Sabtu yang diadakan secara rahsia oleh ahli keluarganya, tiga bulan setelah digulingkan dari kuasa.

Sebelum ini sambutan hari jadi Mugabe diadakan secara besar-besaran di Zimbabwe, yang diikuti dengan berjuta puji-pujian dan ucap tahniah selain penghormatan oleh media milik rejim, kementerian dan agensi kerajaan.

Hari jadinya yang sebenar pada Rabu dijadikan sebagai cuti umum tahunan buat pertama kali tahun ini, namun acara itu tidak disambut dengan kegembiraan seperti selalu.

“Parti ini hanya untuk ahli keluarga dan sahabat terdekat sahaja. Ia bukan untuk orang awam dan ia hanya dibuka atas jemputan sahaja,” kata rakan rapat Mugabe, Louisa Nyanhongo.

Kad jemputan yang tersebar di media sosial menunjukkan yang para jemputan akan “menyambut hari jadi hero kita” beserta gambar senyuman Mugabe.

Kad itu menerangkan yang parti diadakan di “Blue Roof,” kediaman mewah peribadi di mana Mugabe dan isterinya Grace, 52 menetap sejak digulingkan oleh tentera.

Nombor telefon Nyanhongo turut tertera pada kad itu, namun beliau menolak untuk mengulas lanjut.

Mugabe acap kali menyambut hari lahirnya dengan ucapan panjang dengan mengenakan pakaian lengkap serta gambar mukanya sendiri yang terpampang di parti. – AFP, 24 Februari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen