DBKL keluar permit ubah suai rumah hanya untuk setahun, kata laporan


DBKL berkata jumlah aduan bunyi bising dan pencemaran habuk akibat kerja-kerja pengubahsuaian rumah semakin meningkat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Ogos, 2022.

PERMIT yang dikeluarkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi pemilik rumah yang ingin mengubah suai kediaman kini hanya sah untuk setahun, lapor The Star.

Laporan itu menyebut, peraturan yang diumum semalam itu bertujuan untuk menangani masalah gangguan yang disebabkan oleh kerja-kerja pengubahsuaian.

Laporan memetik Pengarah Jabatan Kawalan Bangunan DBKL Norizan Sulaiman berkata, pemilik kediaman perlu memohon untuk memperbaharui permit sekiranya pengubahsuaian tidak dapat disiapkan dalam tempoh setahun berserta alasan yang kukuh.

Norizan juga dipetik berkata pemilik rumah perlu membuat permohonan kepada Pusat Sehenti (OSC) yang diketuai Datuk Bandar Kuala Lumpur Mahadi Che Ngah. Permit hanya boleh diperbaharui sebanyak tiga kali, katanya.

Beliau juga berkata peraturan baharu itu dikeluarkan susulan jumlah aduan bunyi bising dan pencemaran habuk akibat kerja-kerja pengubahsuaian rumah semakin meningkat. – 16 Ogos, 2022.     


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen