Pelarian hidup sengsara di Malaysia, kata aktivis


Elill Easwaran

Kehidupan pelarian di Malaysia sukar kerana tidak diberi hak yang wajar mereka perolehi, kata aktivis. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Ogos, 2022.

KEHIDUPAN pelarian di Malaysia sukar, kerana undang-undang negara ini tidak memberi hak yang wajar mereka perolehi, kata aktivis.

Pihak berkuasa kebiasaannya melayan pelarian lebih teruk daripada penjenayah, malah Malaysia bukanlah tempat yang selamat untuk pelarian, kata mereka kepada The Malaysian Insight.

Pengarah Eksekutif Inisiatif Utara-Selatan Adrian Pereira berkata, sungguhpun menyedari nasib yang menimpa mereka pelarian-pelarian ini tiada pilihan lain.

“Mereka dalam keadaan amat terdesak. Walaupun tahu tidak selamat di sini tetapi dengan membayar sedikit rasuah mudah untuk mereka masuk ke negara ini.

“Di Malaysia pelarian dilayan lebih teruk berbanding penjenayah,” katanya.

Tambahnya, peraturan yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) terhadap pelarian di negara ini terlalu keras.

“MKN mengklasifikasikan pelarian termasuk Rohingya sebagai pendatang asing tanpa izin (Pati), dan ini dibuat tanpa berdasarkan sebarang bukti.

“Kerajaan menempatkan pelarian di bawah pengawasan yang sangat tinggi sedangkan mereka harus diberi semua hak asasi,” jelas Adrian.

Beliau berkata kehidupan pelarian di Malaysia sangat sukar lebih-lebih lagi kerana tidak dibenarkan untuk bekerja.

“Negara kita tak beri mereka hak untuk bekerja, jadi bagaimana mereka hendak teruskan hidup?”

Media kerap melaporkan tindakan kerajaan terhadap pelarian, sering menahan mereka bersama Pati. Mereka ditahan walaupun mempunyai kad pelarian yang dikeluarkan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNHCR).

Ditanya berkenaan pelarian Myanmar yang mencampak tiga anaknya dari jejambat setinggi 20 meter di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) sebelum membunuh diri awal bulan ini, Adrian berkata kejadian tersebut sebenarnya boleh dielakkan.

“Tindakan lelaki berpunca daripada banyak isu.

“Kejadian ini tidak akan berlaku jika Malaysia beri mereka hak asasi yang sewajarnya,” katanya.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai pada 3 Ogos lalu berkata lelaki warga Myanmar yang juga pemegang kad UNHCR itu mengalami masalah mental.

Dia ditemui mati bersama dua daripada tiga anaknya yang dicampak dari jejambat MRR2. Salah seorang anaknya dirawat di hospital kerana kritikal. Kesemua anaknya juga pemegang kad UNHCR.

Aktivis berkata pelarian-pelarian di Malaysia tidak mendapat akses kesihatan dan pendidikan yang sewajarnya.– Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Ogos, 2022.

Situasi semakin teruk

Sementara itu, seorang lagi aktivis, Mahi Ramakrishnan dari Beyond Borders, berkata situasi yang dialami pelarian di negara ini semakin buruk akibat tiada pendapatan akibat pandemik Covid-19 dan banjir yang melanda pada Disember lalu.

“Kita semua maklum harga makanan semakin meningkat, dan ini menambahkan lagi beban pelarian.

“Mereka ini tidak menerima bantuan kewangan atau pun bantuan lain dari kerajaan,” katanya.

Menurut Mahi, pelarian di Malaysia dilayan seolah-olah mereka mengancam keselamatan negara.

“Negara kita perjuangkan hak rakyar Palestin tetapi pelarian dilayan sebaliknya.

“Walaupun kita berkewajipan untuk melindungi hak mereka, tetapi pelarian-pelarian ini tidak boleh bekerja, tiada akses kepada penjagaan kesihatan dan pendidikan yang sewajarnya,” kata Mahi. – 17 Ogos, 2022.     

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen