Orang Singapura bertanya, orang Malaysia suka yang korup, ya?


Faisal Tehrani

SALAH satu soalan kegemaran orang biasa di Singapura yang selalu ditanyakan kepada saya di mana-mana tika bertemu ialah, mengapa orang Malaysia mendambai pemimpin rasuah? Juga, kenapa teruk sangat keadaan negara kita dicurah rasuah? 

Mengapa tiada tindak orang kita untuk nyah badi korupsi? Tidakkah orang Malaysia menyedari mereka sedang basah rasuah? Atau, tidakkah busuk korupsi terhidu di hidung menusuk?

Kadang terdapat juga jenaka, sudahkah kapal tiba? Apa khabar Wak Jawa? Barangkali akan diampunkannya supaya dapat diundang lagi ke jamuan tertutup hari raya? Dan seribu satu macam lagi. 

Jika ibu bapa kalian terus di kampung mengambil dua ratus ringgit ketika kempen pilihan raya, dan memangkah raja-raja korup maka sebahagian besar profesional dalam kalangan rakyat Malaysia yang berkhidmat di luar negara akan terus berdepan seumpama senario di atas. 

Saya tertampar. Saya rasa ditelanjangi. Saya berasa seolah-olah diadili. Saya benar-benar tidak tahu bagaimana menjawabnya. 

Ia membuatkan saya merana, dan kadang terlalu malu mengaku saya orang Malaysia. Kadang saya hanya menjawab, ‘Orang Kajang’; yang tersilap mendengar ‘Orang Pahang’ lekas-lekas saya nafikan kerana tidak mahu dihujahkan.

Minggu ini perli, usik jenaka tawa dan pertanyaan seperti di atas semakin meningkatkan kegandaannya. Ini kerana busuk skandal kapal LCS telah pun dibau, meski cuba ditutup dengan daun nyiru. Dalam erti kata lain perihal dalam kain kita kini telah diketahui jiran tetangga. 

Saya berpandangan, siapa saja yang waras dalam kalangan kita, baik berpangkat atau tidak, baik berkedudukan atau tidak, baik lelaki perempuan atau pertengahan, baik apa agama dan kepercayaan, baik putih hitam perang usah lagi menahan-nahan agar hal ini dilondehkan. 

Kita harus membuka dan mendedahkan kurap korup ini supaya segelintir lain dalam kalangan kita yang tidak ada rasa malu segan akan terbelalak biji matanya. Moga-moga ada doktor sakit kulit boleh merawatnya. Kalau sekadar sakit kulit saja mujurlah, buatnya kanser kulit mungkin perlu dikimoterapi pula.

Sangat penting untuk kita yang selalu berdepan dengan soalan-soalan kemaluan dan keaiban seperti saya nyatakan di atas untuk bingkas dan melakukan apa sahaja dalam daya kita untuk menjelaskan kepada orang tua, orang muda, orang dalam mabuk khayal agama, orang dalam candu rempit dan mengganja supaya gempar. 

Mereka harus diajar bahawa duit rakyat 9 bilion telah terbuang entah masuk ke gaung mana. Kalau tidak ditanya, dan dipertanggungjawabkan kita akan masuk neraka bersama-sama yang melakukannya.

Skandal kelahanatan kapal tempur pesisir pantai (LCS) ini bermula pada Disember 2011. Ketika itu Kementerian Pertahanan memberikan kontrak bernilai RM9 bilion kepada Boustead Naval Shipyard (BNS) Sdn Bhd untuk membina enam buah kapal sebagai sebahagian daripada rancangan penambahbaikan dan pengemaskinian tentera laut. Bergolek sana sini, akhirnya sebuah kontrak akhirnya ditandatangani pada bulan Julai 2014. 

BNS dijadualkan membina kapal enam buah ini dengan bantuan syarikat Perancis, DCNS bermula 2015. Sayugia diingatkan siapa yang menjadi perdana menteri, timbalan perdana menteri dan menteri pertahanan tatkala itu. Bukan mana-mana Lim, Lee, Ah Hong, Ah Goh atau Ah Seng. Bukan mana-mana Muthu, atau mana-mana Ram Singh. 

Antara 2011 hingga 2015 itu ada beberapa mamat Melayu-Islam kerap berlumur atar dan selalu menempel pipi di dinding Kaabah persisnya Abu Jahal sebelum pembukaan kota Mekah, seraya sedang berkilau-kilau mensakau duit negara. Itulah siri kejadian antara tahun-tahun itu.

Maka kapal yang konon dijangka siap menjelang April 2019 tidak kunjung tiba di dermaga. Baki lima kapal lagi dalam selang waktu enam bulan sehingga 2023 yang patutnya nampak buritan dan sauhnya hanya ternampak bayang-bayang di atas permukaan kertas laporan oleh jawatankuasa siasatan perolehan dan kewangan di bawah ketua audit negara Ambrin Buang.

Tentera laut kita yang memang mengharap kapal baharu telah menjadi bahan jenaka teman-teman sepelayaran mereka dari negara lain bila bertembung di tengah samudera. Tentera laut kita bahkan ditertawakan lanun dan nelayan asing. Demikian babi keadaan ini. 

Kalau datang sebab akibat ada musuh datang menyerang, maka mungkin yang ramai-ramai datang menonton Mat Kilau bertanjak dan berkeris dalam pawagam itu bolehlah disuguh dan ditolak ke tengah. Tentu mereka boleh bersilat dengan penuh berani dan dedikasi.

Kita sebagai orang yang reti malu dan ikut bau hapak melantung skandal ini mesti beramai-ramai menggesa agar si penyarung kemeja Burberry berbuat perkara yang betul, iaitu menyahklasifikasi laporan mengenai projek ini dan menubuhkan suruhanjaya siasatan diraja. 

Ya, supaya jangan ada istana menjemput lagi pesalah-pesalah korupsi untuk menjamah lemang raya. Mereka beri mak bapa kita di kampung dua ratus, mereka tanam wang kita entah di mana. Kalau tidak ditanya, kita masuk neraka bersama-sama mereka. 

Kita sebagai orang yang tak tergamak digelak dan bukan jenis kaki surau yang percaya analogi hewan dan binatang Haji Hadi wajib beramai-ramai menggesa agar kerajaan menyahklasifikasi audit forensik oleh BNS mengenai projek ini, dan memastikan peguam negara dan ketua audit negara tiada hendak menyorok apa-apa. Ini duit kita RM9 bilion terbakar hangus. 

Mereka beri mak bapa kita di kampung dua ratus, mereka tanam wang kita RM9 bilion dalam lubang mana. Kalau tidak ditanya, kita masuk neraka bersama-sama mereka. 

Kita sebagai orang yang waras dan siuman serta masuk sekolah celik huruf mesti faham yang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah melengkapkan siasatannya yang dijalankan sejak beberapa tahun lepas. Khabarnya kertas siasatan telah dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara dengan saranan agar individu tertentu yang mempunyai kaitan dengan projek itu didakwa. 

Kita mesti pastikan peguam negara betul-betul dakwa, sebab kuasa mendakwa tiada pada SPRM. Kuasa mendakwa ada pada pejabat peguam negara, dan dia menjawab dengan Burberry. Kita mesti pastikan dia juga menjawab dengan kita, rakyat. 

Mereka beri mak bapa kita di kampung dua ratus, mereka leburkan wang kita 9 bilion dalam lumpur. Kalau tidak ditanya, kita masuk neraka bersama-sama mereka.

Api dalam neraka merumba-rumba. Bahan bakarnya, wang kertas 9 bilion menyala untuk 9 bilion tahun. 

Salah satu soalan kegemaran orang biasa di Singapura yang selalu ditanyakan kepada saya di mana-mana tika bertemu ialah, sukakah orang kita masuk neraka bersama-sama penjenayah yang dipertahankan mereka setiap kali pilihan raya?

Suka? Sebab api kesalahan bribery memang panas. Bahan bakarnya, wang kertas 9 bilion melonjak-lonjak untuk 9 bilion tahun lamanya. – 16 Ogos, 2022.     

* Mohd Faizal Musa atau Faisal Tehrani bertugas sebagai felo di Institut Alam dan Tamadun Melayu (UKM), Felo Pelawat di ISEAS-Yusuf Ishak dan Bersekutu untuk sebuah projek di bawah Weatherhead Center, Universiti Harvard. Faisal menulis mengenai pelbagai perkara yang menjadi minat beliau.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen