SEORANG pekerja kilang yang dalam perjalanan pulang ke rumah maut selepas motosikal yang ditunggangnya bertembung dengan sebuah lagi motosikal, dalam kemalangan di Jalan Permatang Bertam di Kepala Batas hari ini.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Mohd Radzi Ahmad berkata dalam kejadian pada kira-kira 8.30 pagi itu, lelaki berusia 40 tahun tersebut meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
Katanya mangsa dikatakan dalam perjalanan pulang daripada kerja di sebuah kilang di Perai ke rumahnya di Permatang Bertam iaitu tidak jauh dari lokasi kemalangan, yang dipercayai berlaku apabila motosikal jenis Honda RS ditunggang lelaki itu cuba memotong sebuah kereta di hadapannya.
“Bagaimanapun, sebuah motosikal jenis Modenas Kriss ditunggang seorang remaja lelaki berusia 18 tahun dari arah bertentangan tidak sempat mengelak motosikal mangsa yang masuk ke laluannya.
“Kedua-dua motosikal tersebut bertembung menyebabkan mereka terjatuh ke atas jalan dan mengalami kecederaan parah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Radzi berkata mayat mangsa telah di hantar ke Hospital Kepala Batas untuk bedah siasat, manakala seorang lagi penunggang motosikal yang mengalami kecederaan parah dihantar ke hospital sama untuk rawatan lanjut.
Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.– Bernama, 15 Ogos, 2022.
Komen