PROGRAM penempatan semula menyaksikan seramai lebih 9.6 juta penduduk China bebas daripada kemiskinan, sekali gus mengubah landskap kehidupan masyarakat pedalaman.
Pelaksanaan program itu membabitkan kawasan amat luas dan golongan miskin paling ramai sejak penubuhan Republik Rakyat China pada 1949.
Program berkenaan membawa sinar baharu kepada masyarakat tempatan yang tinggal di kawasan tinggi mencecah 1,600 hingga 2,500 meter dari paras laut di wilayah Yunnan di barat daya China.
Kampung Tuoping di daerah Fugong kini berwajah baharu selepas penduduk berpindah ke kawasan kediaman yang dilengkapi pelbagai kemudahan awam seperti tempat khas untuk bersenam, tadika dan perkhidmatan rangkaian 4G.
Di Fugong, terdapat 15 kawasan kediaman seumpama yang menyediakan rumah baharu kepada seramai 22,000 penduduk, bersamaan satu perlima jumlah keseluruhan penduduk daerah berkenaan.
Selain wilayah Yunnan, dalam tempoh sedekad lalu program penempatan semula besar-besaran juga dilaksanakan di bahagian tengah dan barat China yang dikelilingi gunung-ganang, atau tempat yang sering berlaku penggurunan serta kawasan beraltitud tinggi dalam tempoh sedekad lalu.
Penggurunan merujuk kepada proses merosotkan alam sekitar iaitu tanah subur menjadi tidak produktif seperti gurun.
Di wilayah Qinghai, barat laut China pula penduduk tempatan dari hampir 48 buah kampung miskin dipindahkan ke kawasan perumahan seluas 100 hektar.
Kira-kira 35,000 kawasan perumahan dibangunkan di seluruh negara untuk menempatkan semula golongan miskin.
Usaha itu satu daripada komponen penting di bawah kempen membasmi kemiskinan yang menyaksikan seramai 98.99 juta penduduk berjaya keluar daripada belenggu kemiskinan mutlak. – Bernama, 15 Ogos, 2022.
Komen