KKM mohon peruntukan kesihatan awam ditingkatkan 5% daripada KDNK


Khairy Jamaluddin berkata, di negara yang berpendapatan sederhana tinggi, penanda aras peruntukan bagi perbelanjaan kesihatan awam adalah antara 4% hingga 5% daripada KDNK. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Ogos, 2022.

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) memohon peruntukan perbelanjaan kesihatan awam ditingkatkan kepada 5% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi memastikan Malaysia mempunyai sistem kesihatan awam bertaraf dunia pada masa hadapan.

Menterinya Khairy Jamaluddin berkata, di negara yang berpendapatan sederhana tinggi, penanda aras peruntukan bagi perbelanjaan kesihatan awam adalah antara 4% hingga 5% daripada KDNK.

Namun Malaysia, katanya hanya memperuntukkan 2.59% daripada KDNK untuk perbelanjaan kesihatan awam, sekali gus menyebabkan ramai mengeluh dan mengadu berhubung tempoh yang lama diperlukan bagi mendapatkan perkhidmatan seperti pengimejan resonans magnetik (MRI) atau imbasan tomografi berkomputer (CT) di hospital kerajaan.

“Saya tahu semua kementerian minta duit (peruntukan) daripada Yang Amat Berhormat (Perdana Menteri) dan semua sama penting, tetapi ada juga kementerian yang lebih penting daripada kementerian lain. Kementerian ini (KKM) lebih penting daripada yang lain sebab tugas teras kita adalah nyawa tentang hidup dan mati.

“Satu angka sahaja saya nak Yang Amat Berhormat (Perdana Menteri) ingat iaitu 5. Bukan RM5 bilion, bukan RM5 juta tetapi 5% daripada KDNK negara kita,” katanya ketika berucap pada persidangan kemuncak Dasar Kesihatan 2022 di Kuala Lumpur hari ini.

Persidangan bertemakan “Masa hadapan perkhidmatan kesihatan melalui pembangunan Kertas Putih Kesihatan” dirasmikan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Sementara itu, Khairy berkata segala dasar dan program yang memberi manfaat jangka masa panjang kepada rakyat tidak pernah terjejas atau terganggu meskipun kerajaan di bawah kepimpinan Ismail Sabri berdepan berbagai spekulasi mengenai pilihan raya umum (PRU).

Ini kerana dalam tempoh setahun mentadbir, beliau berkata banyak pencapaian diraih oleh pentadbiran perdana menteri termasuk kejayaan mengawal pandemik Covid-19 serta penggubalan beberapa undang-undang yang dilihat penting untuk generasi masa sekarang dan akan datang.

Penggubalan undang-undang itu antaranya berhubung Rang Undang-Undang (RUU) Antigangguan Seksual 2021 (AGS 2021) yang baru diluluskan selepas lebih 10 tahun dirangka, serta RUU Antilompat Parti yang dilihat bakal membawa kestabilan dan integriti dalam politik.

“Dalam bidang kesihatan pula, perdana menteri memberi sokongan kepada saya untuk membawakan RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 serta kini turut memberi restu kepada KKM untuk membawakan satu Kertas Putih Kesihatan bagi mentransformasikan sistem kesihatan negara.

“Ini bermakna walaupun kita kerajaan yang masanya tidak lama tetapi sebenarnya berjaya membawa pembaharuan jauh ke depan,” katanya. – Bernama, 15 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen